PERISTIWA TAHUN KELAPAN HIJRAH
- Kematian Zainab binti Rasulillah s.a.w. di Rusyd (Muharram).
- Sariyah Ghalib bin Abdullah al-Laithi r.a. (Safar).
- Sariyah Ghalib bin Abdullah al-Laithi r.a. (sariyah seterusnya) ~ Sariyah bersama 200 tentera muslimin sekembalinya beliau dari Madinah untuk menghukum (qisas) Banu Murrah di Fadak.
- Sariyah Ka'ab bin Umair al-Ghifari r.a. (Rabi'ul Awal) ~ Sariyah bersama 15 muslimin menuju ke Zat 'Atlah untuki menyeru kepada Islam. Berlaku peperangan. Disebabkan bilangan mereka yang ramai, semua muslimin syahid kecuali Ka'ab yang berjaya melepaskan diri.
- Sariyah Zat Irq (Rabi'ul Awal)
- Ghazwah Muktah (Jamadil Awal) ~ Muktah adalah kampung yang bersempadan dengan Syam. Ghazwah berpunca daripada pembunuhan ke atas utusan Rasulullah s.a.w. kepada Raja Busra, al-Harith bin 'Umair al-Azdi r.a. Peperangan ini tidak disertai oelh Rasulullah s.a.w. namun dinamakan sebagai 'Ghazwah' kerana ramainya bilangan tentera Muslimin (3,000 orang). Rasulullah s.a.w. melantik Zaid bin Harithah r.a. sebagai ketua, sekiranya gugur syahid diganti oleh Ja'afar bin Abi Talib r.a., dan sekiranya gugur syahid diganti pula oleh Abdullah bin Rawahah r.a. Sharhabil mengumpulkan 100,000 tentera daripada Qabilah Lukham, Juzam, al-Qain dan Bahra, manakala Hiraqla menghantar seramai 100,000 askar bantuan. Ketiga-tiga ketua yang dilantik oleh Rasulullah s.a.w. syahid di medan perang Muktah. Khalid al-Walid r.a. yang kemudiannya dilantik untuk memimpin tentera Muslimin dengan taktik yang akhirnya mengucar-kacirkan musuh.
- Sariyah Amru bin al-'Ash r.a. (Jamadil Akhir) ~ Sariyah menuju ke sekumpulan Qudha'ah yang berhimpun di belakang Wadi al-Qura untuk menyerang Madinah. Keluar bersama 300 tokoh-tokoh kenamaan dari Muhajirin dan Ansar. Musuh diserang sehingga berpecah dan dikalahkan, harta benda dirampas.
- Sariyah Abu Ubaidah al-Jarrah r.a. (Rejab) ~ Sariyah bersama 300 tentera berkuda menuju ke Kabilah Juhainah di persisir pantai. Menunggu musuh selama setengah bulan sehingga kehabisan bekalan makanan dan akhirnya pulang setelah musuh tidak kelihatan.
- Sariyah Abi Qatadah r.a. (Sya'ban) ~ Sariyah bersama 15 lelaki ke Khadrah.
- Pembukaan Mekah (Ramadhan) ~ Berpunca daripada pengkhianatan Quraisy terhadap Perjanjian Hudaibiyyah apabila mereka menyerang Banu Khuza'ah. Abu Sufyan bertemu Rasulullah s.a.w. untuk berunding semula tetapi ditolak. Rasulullah s.a.w. bersiap untuk menyerang Mekah pada hari Rabu, 10 Ramadhan bersama 10,000 angkatan Muslimin. Pembukaan Mekah menyaksikan keislaman Abu Sufyan bin Harb r.a. . Nabi s.a.w. hanya membenarkan 6 lelaki dan 4 perempuan tertentu sahaja dibunuh, atau musuh yang bertindak melawan. Penduduk Mekah memeluk Islam beramai-ramai. Berlaku Bai'ah an-Nisa'. Rasulullah s.a.w. tinggal di Mekah selama 19 hari dengan mengqasar solat. Baginda mengutuskan Khalid bin al-Walid r.a. bersama 30 muslimin untuk menghancurkan berhala Uzza, Amru bin al-'Ash r.a. untuk menghancurkan berhala Suwwa' dan Sa'ad bin Zaid r.a. bersama 20 muslimin untuk menghancurkan berhala Manat.
- Ghazwah Hunain (Syawal) ~ Berpunca dari kebimbangan pembesar Huwazin dan pembesar Thaqif ekoran kemenangan Rasulullah s.a.w. ke atas Mekah. Mereka mengumpulkan pasukan yang besar diketuai oleh Malik bin 'Auf dengan membawa keluar bersama harta benda dan anak isteri. Nabi s.a.w. keluar bersama 12,000 Muslimin, turut keluar ialah 80 musyrikin Mekah. Bendera Muhajirin dibawa oleh Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah, bendera Khazraj dibawa oleh al-Hubab bin Munzir r.a. dan bendera Aus dibawa oleh Usaid bin Hudair r.a. . Muslimin diserang di Wadi Hunain pada subuh hari. Bertempur dengan hebat sehingga tentera muslimin hampir berpecah. Akan tetapi akhirnya Allah memberi kemenangan kepada pihak Muslimin. Harta rampasan yang diperoleh adalah: 24,000 unta, lebih 40,000 kambing, 4,000 Uqiyah perak dan 6,000 tawanan. Harta rampasan dikumpul di Ja'ranah. Malik bin Auf dan pengikutnya lari berlindung di Taif.
- Ghazwah Taif (Syawal) ~ Nabi s.a.w. bertolak ke Taif bersama para sahabat lalu mengepung Taif. Banu Thaqif yang dipimpin oleh Malik bin Auf bertahan di kubu-kubu sambil melepaskan hujan anak panah kepada Muslimin. Kepungan selama 18 hari (khilaf: lebih 20 hari). Nabi s.a.w. memerintahkan agar menggunakan manjaniq dan dabbabah. Akhirnya Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya tentera Muslimin berangkat pulang lalu mendoakn penduduk Thaqif mendapat hidayah. 12 tentera Muslimin tercedera dan akhirnya syahid.
- Sariyah Qais bin Sa'ad r.a. ~ Sariyah bersama 400 tentera menuju ke Kabilah Suda' di Yaman.
- Delegasi Suda' ~ 15 lelaki dari Kabilah Suda' datang menemui Rasulullah s.a.w. dan berbai'ah untuk Islam.
- Delegasi Tamim ~ Utharid bin Hajib, Zabarqan bin Badr, dan Amru bin al-Ahtam datang menemui Rasulullah s.a.w. Mereka menunggu Nabi s.a.w. keluar dengan tidak bersabar lalu turun Surah al-Hujurat atay 4-5 menceritakan perihal mereka. Penerimaan mereka memeluk Islam dan tinggal di Madinah untuk belajar al-Quran dan ilmu agama.
- Sariyah Khalid bin al-Walid r.a. ~ Nabi s.a.w. mengutuskan al-Walid bin Uqbah untuk memungut zakat Banu Mustaliq. 'Uqbah menyangka mereka telah murtad lalu pulang memberitahu Nabi s.a.w. . Baginda mengutuskan Khalid bin al-Walid r.a. untuk mengenalpasti perkhabaran itu. Khalid telah mendengar azan subuh dilaungkan di perkampungan Banu Mustaliq. Lalu turun Surah al-Hujurat ayat 6 kepada al-Walid bin 'Uqbah.
* Ghazwah: Ekspedisi ketenteraan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w
* Sariyah: Ekspedisi ketenteraan yang tidak disertai oelh Rasulullah s.a.w.
* Kredit sumber dari tulisan Dr Ahmad Muhaimin Mustapha dan Ustaz Rawizal Mohd Nawi ~Rujukan dari pelbagai kitab Ulama' Sirah.
0 comments:
Post a Comment