CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, February 12, 2011

Kekasih yang Sangat Istimewa..



Dia Kekasih Allah, kekasih seluruh makhluk di langit dan di bumi, para malaikat dan para muttaqin yang sering merindui...

Kelahirannya dinanti... kedatangan dan kehidupannya amat dikasihi dan disenangi oleh seluruh isi langit dan bumi... dipenuhi barakah dan dilimpahi kasih memenuhi kecintaan...

Bermula sebelum dari saat kelahiran, Allah telah melimpahkan barakah dan keistimewaan buat KekasihNya. Aminah, bonda Junjungan Mulia Muhammad s.a.w dikhabarkan melalui mimpi bahawasanya dia akan mengandungkan seorang pemimpin dan penghulu seluruh umat manusia. Sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., sedikitpun tidak terasa berat dan sukar bagi Aminah. Lahirnya pula dalam keadaan yang sudah berkhitan.

Ketika saat kelahiran Muhammad bin Abdullah, mahligai Raja Kisra di Rom telah berlaku gegaran yang menyebabkan beberapa binaan tiang yang utuh itu tumbang. Sesuatu yang tidak pernah terjadi. Juga terpadamnya api sembahan Majusi di negara Parsi yang berlaku secara tiba-tiba walaupun tidak pernah terpadam sejak seribu tahun sebelumnya.

Ketika di bawah jagaan Halimatus Sa'adiah, binatang peliharaan mereka yang kurus secara tiba-tiba menjadi gemuk dan mengeluarkan susu tanpa henti. Keluarga yang miskin itu dicukupkan lantaran barakahnya anak kecil yang bernama Muhammad ini..

Di usia 4 tahun, Nabi Muhammad 'dibedah' dadanya dan 'dicuci' hatinya agar sentiasa dalam fitrah kesucian, tidak dipenuhi kehitaman seperti mana manusia lainnya. Sepanjang meniti zaman kanak-kanak dan remaja, Allah memelihara Muhammad bin Abdullah dari segala perbuatan jahiliyah
Betapa istimewanya Baginda... dikurniakan pelbagai mukjizat dan barakah, tanda kasih dan cintanya Allah kepada Rasul pilihanNya.. Rasulullah sangat istimewa... Peribadinya al-amin dan dipercayai oleh semua orang. Kata-kata dan pergaulannya penuh lemah lembut dan berhikmah. Senyuman mesra sentiasa terpamer pada wajah baginda. Kasih sayang jelas terpancar pada seraut wajah yang bening dipenuhi rasa tawadhu'.


Baginda disayangi dan disenangi oleh sesiapa jua ~ biarpun kali pertama bersua, hati pasti akan jatuh cinta! Mengalir rasa kasih dan cinta melebihi diri dan keluarga sendiri. Itulah yang dirasakan oleh para sahabat baginda. Biar musuh sekalipun, rasa kasih tetap mengalir membasahi diri mereka, cuma keangkuhan yang menafikan.


Kisah pengorbanan, jihad dan kepimpinan Baginda Rasulullah bisa membuatkan air mata ini tumpah... Betapa besarnya erti perjuangan dan keperitan yang telah Rasullah s.a.w. lalui untuk membawa misi kasih sayang dan keamanan. Dari kehambaan dunia kepada kehambaan kepada Rabbul Jalil. Dari rasa ketuanan kepada rasa kehambaan. Dari kezaliman kepada keselamatan dan keadilan Islam. Dari permusuhan kepada kasih sayang dan ukhuwwah sesama insan. Dari segala kegelapan jahiliyah kepada cahaya kesucian deenul Islam...

Kini selepas lebih 1400 tahun pemergian Rasulullah s.a.w., masih wujudkah 'cinta' umat ini umpama para sahabat mencintai Kekasih yang sangat-sangat istimewa ini? Dia kekasih yang sangat istimewa di sisi Allah dan seluruh makhluk di langit dan di bumi...


~"Duhai Kekasih Allah... bukankah dirimu telah dijamin syurga? Mengapa engkau sanggup bersusah payah begini?" tanya Saidatina 'Aisyah tatkala melihat bengkak di kaki kekasih hatinya lantaran terlalu banyak melakukan solat malam. "Ya 'Aisyah.. bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hambaNya yang bersyukur." Jawab Rasulullah s.a.w. dengan lunaknya, penuh rasa kehambaan..



0 comments: