CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, February 2, 2011

'Royalti' Berterusan Buat Mama dan Abah


Selembut sutera kasih Ilahi yang sentiasa terhampar pada seluruh kehidupan ini...

Hembusan kasih sayang-Nya dipantulkan melalui insan-insan yang sentiasa menyayangi kita, insan2 yang baik disekeliling kita, insan2 yang berbakti buat kita, insan2 yang terbuka ruang hatinya untuk menyenangi kita, dan seluruh kehidupan yang dipermudahkan buat kita dalam mengecap nikmat bahagia ini...

Semuanya pantulan kasih sayang dan belas kasihan Allah s.w.t. terhadap kita. Dihadirkan pelbagai nikmat dalam pelbagai bentuk, dan segalanya adalah percuma! Subhanallah..


Kita lahir ke dunia dengan penuh kelemahan dan ketidakupayaan untuk melakukan apa-apa, dengan tidak mengerti sesuatu serta ketidakupayaan untuk memberitahu sesuatu hajat kecuali melalui tangisan. Lahir pula tanpa perlindungan dan keseorangan di dunia yang asing dari alam rahim..


Di sana Allah s.w.t. lemparkan rasa kasih yang amat-amat tinggi dalam diri seorang ibu dan seorang bapa buat kita. Kala itu hati dipenuhi rasa sayang, suka, tenang dan bahagia secara fitrah (semulajadi) buat sesiapa sahaja yang memandang pada seorang 'kita' yang masih bayi..


Disusukan dengan penuh kasih, dibelai umpama permata berharga, sanggup berjaga malam, rela bersusah dan bekorban segalanya untuk kita, menyediakan makan dan segala keperluan selengkap mungkin, menumpahkan sepenuh kasih, membahagiakan kita semaksima yang mungkin, mendoakan kita tanpa henti, tega menghadapi segala permasalahan yang kita timbulkan, serta cukup tabah untuk menerima segala 'racun' dan 'tuba' dari anak-anak sebagai balasan selautan 'madu' yang pernah diberikan dengan penuh kasih sayang...


Allahu Akbar! Inilah mereka ibu bapa kita... Anugerah Allah yang Maha Rahim buat kita. Sehingga ke hari ini, berapa banyak bahagia yang mampu kita usahakan buat mereka, dan berapa banyak pula gurisan luka di hati mereka yang telah kita lakukan? Untuk membalas segala lautan 'madu' dan kasih mereka, kita sememangnya tidak mampu dan memang tidakkan terbalas segalanya...


Tiada kata yang mampu diungkapkan, betapa bahagianya kita semua kerana dianugerahkan (hakikatnya dipinjamkan) dengan nikmat kedua ibu bapa ini. Segala puji hanya bagi Allah, Dia telah mengaturkan saya menjadi anak kepada kedua ibu bapa yang sangat baik dan penyayang, dan saya tidak mampu untuk melakarkannya di sini.. betapa saya amat bersyukur pada anegerah ini... betapa saya amat merasai hembusan kasih dan belas Ar-Rahman melalui kasihnya mama dan abah pada saya.. betapa saya tidak mampu untuk mengungkapkan infiniti nilai kasih saya pada mereka..



Kerana kebaikan dan kasih mereka yang menggunung buat saya dan adik-adik, kami cuba untuk menjadi anak soleh solehah yang membahagiakan jiwa dan mata hati mama dan abah. Cuba berbakti dan membahagiakan mereka, cuba dan terus mencuba.. Namun kami sedari, kami tetap tidak sunyi dari kesilapan dan dosa..


Lantas diri sering memikirkan cara terbaik untuk menghadiahkan sesuatu buat mama dan abah, sesuatu yang kekal dan berpanjangan... Sesuatu yang akan 'menemukan' kami kembali setelah perpisahan di dunia ini...


Hadis Rasulullah s.a.w. menguatkan saya untuk menghadiahkan sesuatu yang terbaik dan berkekalan buat mama dan abah...


"Jika mati anak adam, terputuslah pahala amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak soleh kepadanya" (HR Muslim)


Allahu Akbar! Rasul yang mulia telah memberi panduan, dan saya sentiasa memohon agar Allah s.w.t lorongkan jalan istiqamah untuk melakukan 3 perkara tersebut sebagai hadiah terbaik untuk mama dan abah.


Moga Allah Ta'ala limpahkan belas kasihan dan rahmatNya agar segala usaha untuk menjadi anak soleh solehah, amalan-amalan yang dilakukan, doa yang diungkapkan, sedekah jariah yang diniatkan untuk mama dan abah serta ilmu-ilmu bermanfaat yang sentiasa cuba diusahakan ini akan diterima oleh Allah Ta'ala dan dikreditkan ke dalam akaun pahala mama dan abah...


Saya cuma umpama 'burung kecil' yang cuba untuk usahakan sesuatu... Hanya mengharapkan Rahmat Allah yang Maha Pengasih... Moga royalti berterusan untuk mama dan abah yang cuba diusahakan ini akan diterima...


"Sesungguhnya Ya Allah... mereka telah menjalankan amanahMu dengan penuh bertangjungjawab, menjaga kami dengan penuh kasih dan sayang, memberikan didikan agama, adab dan akhlak buat kami, bahkan segala-galanya terlalu baik dan sempurna untuk kami... Dan kami sedari, hakikatnya mereka adalah pantulan kebaikan dan kasih sayang-Mu terhadap kami, Ya Muhaimin... Kami insafi, tiada yang mampu kami lakukan tanpa anugerah belas kasihanMu terhadap kami. Maka berlemah lembutlah terhadap kami, Ya Lathif... Kasihanilah kedua ibu bapa kami dengan rahmatMu.. Pertemukan kami kembali di alam cinta kekal abadi di syurgaMu kelak.. Ya Allah.. Ya Rahman.. Rahim.."


0 comments: