CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, March 23, 2014

Tragedi MH370: Antara Misteri, Spekulasi dan Hikmah




Pesawat MH370 adalah pesawat Boeing 777 yang ke-404 dikeluarkan oleh syarikat Boeing semenjak 1995, menggunakan 2 enjin Rolls-Royce Trent 892. Pakar penerbangan menyifatkan Boeing 777 adalah pesawat yang paling selamat dan terbaik yang pernah wujud setakat ini. MH370 mempunyai 35 kelas bisnes dan 247 kelas ekonomi (jumlah: 282 penumpang) dengan penerbangan pertama adalah pada 14 Mei 2002 dan diserahkan kepada Malaysia Airlines (MAS) pada 31 Mei 2002.

Seperti yang kita telah sedia maklum, MH370 membawa 227 penumpang dan 12 krew penerbangan (jumlah: 239 orang) dari 15 buah negara. Juruterbang adalah Kapten Zaharie Ahmad Shah (18,367 jam penerbangan) dan Pembantu Juruterbang adalah Fariq Abdul Hamid (2,763 jam penerbangan). Pesawat berkenaan berlepas pada jam 12.41 pagi dan dijangka tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi. Maklumat terakhir komunikasi ACARS diterima adalah pada jam 1.07 pagi manakala laporan terakhir oleh Pembantu Juruterbang, Fariq Abdul Hamid mengatakan “All right, good night” adalah pada jam 1.19 pagi.

Posisi terakhir yang dikenalpasti dari radar transponder adalah pada jam 1.21 pagi berhampiran Teluk Thailand (Gulf of Thailand) dan Laut China Selatan. Pesawat berkenaan telah disahkan terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Subang pada jam 1.22 pagi. Ketika dihubungi pada jam 1.30 pagi, hanya bunyi statik yang dapat didengari. Radar dari Malaysia mengesan pesawat MH370 pada jam 2.15 pagi berhampiran Pulau Perak yang terletak di barat laut Pulau Pinang. Lebih menimbulkan misteri apabila radar ACARS dari MH370 dapat dikesan pada pada jam 8.11 pagi dari satelit Inmarsat dan ini membuka dimensi baru pencarian. Skop pencarian diluaskan dari sempadan Kazakhstan ke utara Thailand (koridor utara) dan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi (koridor selatan).


Ketika misi mencari memasuki hari kedua pada 9 Mac yang lalu, sebanyak 34 pesawat dan 40 kapal dikerahkan untuk mengesan MH370 di Teluk Thailand dan Laut China Selatan. Teknik pengesanan infra-bunyi digunakan untuk mengesan sebarang bunyi yang berkemungkinan dihasilkan dari pesawat MH370 yang tenggelam di lautan. Pencarian bermula di Teluk Thailand dan Laut China Selatan (8 Mac), diteruskan ke Selat Melaka (11 Mac), Laut Andaman (12 Mac) dan Lautan Hindi (13 Mac), bahkan diluaskan lagi dari sempadan Kazakhstan-Turkmenistan ke utara Thailand dan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi (18 Mac).

Pencarian memasuki hari ke-16 pada hari ini, 23 Mac 2014. Suatu kehilangan yang masih menjadi misteri dan mencetus pelbagai spekulasi. Insiden ini mencipta sejarah tersendiri apabila misi mencari dan menyelamat MH370 adalah yang terbesar dalam sejarah dunia. Sehingga kini, sebanyak 26 buah negara telah menyertai misi berkenaan termasuk Australia, Bangladesh, Brunei, China, Filipina, India, Indonesia, Jepun, Kemboja, Korea Selatan, Myanmar, New Zealand, Norway, Pakistan, Perancis, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, UAE, UK, US, dan Vietnam.


Penemuan seperti tumpahan minyak berhampiran pantai Vietnam (8 & 9 Mac), serpihan dipercayai dari pesawat MH370 di selatan Kepulauan Tho Chu (9 Mac) dan cerapan imej satelit dari China yang menunjukkan 3 objek terapung berukuran 24x22 meter (9 Mac) - semuanya menemui jalan buntu apabila disahkan bukan berasal dari pesawat MH370. Terbaru, misi mencari diteruskan berdasarkan rakaman imej satelit yang menunjukkan objek sepanjang 24 meter di Lautan Hindi (16 Mac-diumumkan pada 20 Mac) dan imej satelit dari China yang menunjukkan objek berukuran 22.5x13m ditemui 3,170km dari barat daya Perth (18 Mac-diumumkan pada 22 Mac).

Antara misteri dan spekulasi yang diwarwarkan adalah wujudnya 2 penumpang Iran berusia 19 dan 29 tahun yang memiliki pasport curi dari warga Austrian dan Itali (11 Mac), munculnya desas desus kononnya wujud penumpang yang 'menyamar' dengan nama dan nombor pasport yang berlainan dari identiti sebenar mereka dan ini dikaitkan dengan serangan 'pengganas', MH370 berada di bawah kawalan 'seseorang' yang telah mematikan alat pengesan radar (ACARS dan transponder) serta melakukan pusingan U dan dipercayai berlaku rampasan dan sebotaj ke atas pesawat (14 Mac), penyiasatan terhadap Juruterbang Kapten Zaharie kerana memiliki simulator penerbangan peribadi di rumah beliau (15 Mac), dan kemungkinan bateri ion lithium di kargo pesawat terbakar dan meletup (21 Mac).

Di sebalik pelbagai spekulasi yang dicetuskan, Chris Goodfellow yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai juruterbang menyatakan pusingan kiri yang dilakukan oleh Kapten Zaharie adalah berkemungkinan untuk menuju ke lapangan terbang terdekat di Pulau Langkawi. Laluan terus di atas laut tidak mempunyai banyak halangan berbanding kembali ke Kuala Lumpur yang merentasi Banjaran Titiwangsa. Kemungkinan berlaku kebakaran di dalam kokpit yang menyebabkan kedua-dua juruterbang lemas akibat terhidu asap dan pesawat berkenaan terus terbang menggunakan aplikasi sistem autopilot sehingga kehabisan minyak atau kebakaran memusnahkan papan kawalan di dalam kokpit. Justeru terputusnya komunikasi ACARS dan pengesanan radar adalah munasabah jika berlaku kebakaran di dalam kokpit. Jika teori berkenaan adalah benar, Kapten Zaharie dan Fariq adalah wira yang bertarung dalam menghadapi situasi mustahil untuk menyelamatkan MH370.

Namun kesemua teori dan spekulasi dari pelbagai pakar penerbangan di seluruh dunia akan tetap kekal menjadi suatu misteri selagi pesawat MH370 tidak ditemui. Hingga ke saat ini - 23 Mac 2014, pencarian di koridor selatan telah diperluaskan sehingga 60,000 km persegi berbanding 30,000 km persegi beberapa hari sebelum ini.

MH370 bakal menjadi sejarah dunia, tiada lagi kod penerbangan MH370 digunakan selepas ini setelah MAS menamatkan penggunaan kod penerbangan MH370 dan MH371 dari KL-Beijing-KL dan menamakan semula penerbangan berkenaan kepada MH318 dan MH319 (14 Mac).



Hikmah di Sebalik Kehilangan Pesawat MH370
[Perkongsian intipati dari kuliyah Tuan Guru Ustaz Dr. Harun Din yang saya hadiri pada 15 Mac 2014 yang lalu]

Apa yang terjadi adalah dengan kehendak Allah s.w.t., tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah semata. Di sebalik kehilangan MH370 ini terselit pelbagai hikmah untuk diteladani. Di saat kita sudah tidak punya daya untuk merungkai misteri kehilangan pesawat berkenaan, kita hanya mampu tertunduk kehinaan.. mengaku betapa lemahnya kita sebagai manusia di sebalik terciptanya pelbagai teknologi moden yang diakui selamat dan hebat - tetap tidak dapat mengatasi 'Kun Fayakun' Tuhan Semesta Alam. Allahu Akbar, kami tunduk mengakui kehebatan-Mu!

"... mereka menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka" ... "maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya" (Surah al-Hasyr, 59:2)

Menginsafi betapa ilmu yang tinggi membuatkan pergantungan kita kepada Allah semakin rendah. Adakah kita mensyukuri ilmu yang telah Allah kurniakan dengan menzahirkannya dalam bentuk tindakan? Semua nikmat adalah dari Allah, selayaknya kita mensyukuri dan mengembalikan kehebatan nikmat kepada Tuan yang memberi pinjam.

Ambil iktibar dari musibah. Tidak Allah s.w.t. timpakan musibah melainkan sebagai 'teguran' untuk hamba-hambaNya yang telah melampaui batas. Sudah tentu ada perbuatan atau tindakan kita yang telah mengundang kemurkaan Allah. Sama ada kesalahan khusus dari pihak-pihak tertentu atau kesalahan umum dari seluruh masyarakat Malaysia.

Bermuhasabahlah, hitung kembali betapa banyaknya maksiat dan kesalahan yang telah dilakukan di bumi Allah Malaysia ini sehinggakan kita diuji dengan musim kemarau yang panjang, jerebu dan insiden MH370 dalam satu masa. Walau sejauh mana kita beralasan ia adalah hukum alam yang semulajadi, namun tetap tidak dapat menolak hikmah dan iktibar di sebalik kejadian-kejadian ini.

Menginsafi amaran Allah di dalam al-Quran ketika menceritakan kisah Fir'aun membunuh anak-anak lelaki, maka ditimpakan azab/ bala yang berat dari Tuhan yang Maha Besar. Bukankah pada zaman ini kisah Fir'aun berulang kembali? Terdapat golongan yang membunuh dan membuang anak luar nikah hasil dari perbuatan keji mereka. Bilangan anak-anak luar nikah yang kian bertambah dengan drastiknya di negara kita adalah suatu fakta yang harus diterima! Belum lagi termasuk pelbagai kefasadan lain yang terlalu banyak untuk disenaraikan - muhasabah bersama.

Lihat sesuatu kejadian dengan mata hati. Lihat kepada iktibar setiap apa yang berlaku. Tidak Allah turunkan musibah melainkan ada kesalahan di pihak hamba-Nya, bukan untuk menzalimi tetapi untuk memberi petunjuk kepada kita. Bukankah setiap hari kita memohon agar diberi petunjuk dalam solat kita? Kita lafazkan permohonan tersebut dalam surah al-Fatihah sekurang-kurangkan 17 kali sehari. Tanpa petunjuk, kita bisa sesat. Allah pasti kabulkan untuk memberi petunjuk, persoalannya adakah kita menerima atau menolak petunjuk berkenaan? Petunjuk secara khusus ditujukan kepada kita atau secara umumnya adalah petunjuk al-Quran (Surah al-Baqarah, 2:2). Justeru, kembalilah kita semua kepada petunjuk al-Quran yang mempunyai segala suruhan kebaikan, amaran kejahatan dan peraturan Pencipta yang wajib ditaati oleh makhluk ciptaan-Nya. Dekatkan diri dengan petunjuk al-Quran, insyaAllah tidak akan sesat selamanya.

Sejauh mana ungkapan “Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raji'un” (dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali) diamalkan? Kembali kepada Allah dalam erti kata kembali kepada kebenaran dan hukum-hukum Allah. Pesan TG  Ustaz Dr. Harun Din sebagai pengakhir kalam, azab dunia akan berakhir... namun azab akhirat yang kekal dan amat berat tetap akan menimpa orang-orang yang dimurkai Allah. Berhati-hati dengan perbuatan kita... jangan sampai mengundang murka Allah!

Hikmah pada setiap musibah, adalah seruan Tuhan Yang Maha Pengasih agar hamba-hambaNya 'kembali pulang' mentaatiNya. Kami sujud memohon keampunanMu, wahai Tuhan Yang Maha Agung... Allahu Rabbana... tunjuki kami jalan pulang yang Engkau redhai dan selamatkan kami dari azab siksa-Mu yang maha dasyat...







Saturday, March 8, 2014

Tragedi 'Kehilangan' Pesawat MH370, Boeing 777-200 Malaysia Airlines (MAS)




Penerbangan MH370, Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada jam 12.41 pagi 8 Mac 2014 dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi. Namun pesawat berkenaan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, dua jam setelah berlepas dari KLIA.

MH370 membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal dari 15 buah negara. Dipandu oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah (53), yang berpengalaman mencatatkan jam penerbangan selama 18,367 jam. Beliau dibantu oleh Pegawai Pertama, Fariq Ab Hamid (27), yang mempunyai 2,763 jam rekod penerbangan.

Pesawat terbabit merupakan sebuah Boeing 777-200 yang berusia 11.8 tahun. Secara purata, pesawat MAS Boeing 777 mampu beroperasi selama 14.2 tahun. Boeing 777 merupakan antara pesawat paling popular dan selamat serta berkemampuan untuk terbang selama 16 jam. Seorang pakar penerbangan yang terlibat dengan industri penerbangan selama 35 tahun, Geoffrey Thomas berkata, tidak pernah berlaku masalah teknikal terhadap Boeing 777 sejak ia dilancarkan pada 1995.

Malaysia Airlines mempunyai reputasi yang cukup baik dan rekod cemerlang dengan juruterbangnya, dan Boeing 777 adalah tunjang kepada kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia, Namun pada awal pagi 8 Mac 2014, dunia digemparkan dengan berita 'kehilangan' pesawat MH370 yang masih tidak dapat dikesan sehingga awal pagi 9 Mac 2013. Tumpahan minyak sepanjang 20 kilometer kelihatan di antara perairan Malaysia dan Vietnam pada petang 8 Mac 2014, dipercayai menjadi petunjuk pertama dalam kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ini. Operasi mencari masih giat dijalankan dengan kerjasama Malaysia, Vietnam, China, Singapura dan Filipina.


Doa kami seluruh rakyat Malaysia buat para keluarga terdekat, moga dugaan ini dapat dihadapi dengan penuh sabar. Jangan putus harapan untuk terus berdoa, moga Allah s.w.t memberikan jalan keluar yang terbaik. Setiap kejadian pasti ada hikmah yang terkandung. Moga-moga kita dapat mengambil pengajaran dari musibah ini dan kembali menginsafi betapa nyawa kita semua berada dalam genggaman-Nya. Dari Allah kita datang, dan hanya kepada-Nya kita akan kembali…

*Sumber Berita: Astro Awani & The Malaysian Insider




Saturday, February 15, 2014

Budaya Jepun



Hari ini adik perempuan saya menziarahi kawan barunya warga Jepun yang baru menerima cahaya mata keempat di rumah sewa beliau di Langkawi. Arissa Komaki namanya. Beliau bersalin di Hospital Langkawi dan  adik saya adalah doktor yang bertugas ketika itu. Arissa kelihatan ayu berkain batik manakala suaminya sopan berkain pelikat. Budaya mereka yang sopan dan menghormati tetamu membuatkan kemesraan mudah terjalin.

Pertemuan ini bukan secara kebetulan. Pasti ada hikmah yang Allah Ta'ala ingin kami pelajari melalui rakyat Jepun yang ditemui ini walaupun dalam masa yang singkat. Dua adik lelaki saya begitu meminati negara, budaya dan bahasa Jepun. Malah pernah mempelajari bahasa berkenaan sebagai subjek tambahan dan secara persendirian. Andai ketemu dengan pelancong dari Jepun, mereka meraikan dan bersembang santai. Adik saya akan berangkat ke Osaka pada 9 Mac ini ~ pengembaraan yang pasti membawa pulang pelbagai ibrah, hikmah dan kenangan, InsyaAllah.




Mengenali warga Jepun walaupun dalam masa yang singkat dan melihat kesopanan, kesantunan, kerajinan, kebersihan, kekemasan, kesungguhan, ketepatan masa, dan segala kebaikan yang dianjurkan oleh Islam diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

Mereka umpama menggunapakai ajaran Islam tanpa mengenal apa itu Islam. Namun kita, mengenal Islam tanpa menggunapakai keseluruhan ajaran Islam. Masyarakat Jepun yang bersistematik menguruskan kehidupan dan menitikberatkan kesempurnaan dalam segala segi. Ayuh umat Islam, kita pelajarilah sesuatu dari mereka!



Tuesday, January 7, 2014

2014



2014... Masih lagi 'tersasul' menulis tarikh kerana sudah terbiasa dengan 2013 =)

Setahun berlalu begitu pantas, rupanya tinggal 6 tahun sahaja lagi menuju tahun 2020... Yang suatu ketika dahulu di zaman kanak-kanak, 2020 itu umpama mimpi. Rupanya lagi 6 tahun, 2020 bakal menjelang!

Tahun baru hadir dengan semangat baru, impian dan azam yang pelbagai. Perlu panjatkan doa agar Allah Ta'ala sentiasa lorongkan petunjuk dan bantuan-Nya untuk kita menempuh jalan kehidupan ini. Agar dengan bertambahnya usia seiring hadirnya tahun baru, semakin bertambah amal dan ilmu, semakin hampir kepada-Nya, semakin bijak mengurus kehidupan dan situasi, semakin mengingati mati, semakin memperbaiki akhlak dan peribadi, semakin bahagia dengan segala kebaikan, dan semakin bertambah nilai keikhlasan semata-mata kerana Allah s.w.t.

Ahlan wasahlan wa marhaban bikum 2014 dan 1435H! (^_^)v