Status seorang 'hamba' hakikatnya sangat hina di sisi 'tuan'nya... Mana layak untuk 'berlebih-lebih' dalam perbuatan dan permintaan. Bahkan jika diikutkan kepada sistem perhambaan dahulu kala, seorang hamba langsung tidak punya nilai, bisa diperbuat sesuka hati tanpa rasa belas. Bisa disakiti dan disuruh tanpa rasa kasihan. Bisa juga dikuasa oleh si tuan empunya kuasa.
Bayangkan kita dihidupkan sebagai hamba di zaman Firaun dahulu ~ oh, seksanya dipaksa seluruh kehidupan untuk 'berkhidmat' membina piramid! Hamba pada Dinasti Maharaja Cina? Pasti dikerah menjadi askar dan buruh binaan Tembok Besar China! Dan status hamba 'menghalalkan' mereka untuk membunuh dan menyeksa kita sesuka hati...
Allahu Akbar!
Namun kerana kita adalah hamba kepada Yang Maha Penyayang... segala nikmat diberi secara percuma, kebebasan mutlak diberikan dengan sedikit had, malah segala hajat dan permintaan bisa dikabulkan.
Nikmat kehidupan, kesihatan, kebahagiaan, keluarga, teman-teman, kerjaya, oksigen untuk bernafas, makanan dan minuman untuk dihadam, kediaman untuk berteduh, sedikit harta untuk meneruskan kehidupan, mata untuk melihat, lidah untuk berkata-kata, kaki untuk berjalan, tangan untuk bekerja, akal dan minda untuk berfikir dan menilai, hati untuk merasa, sistem sempurna koordinasi tubuh badan dan pelbagai infiniti nikmat yang lain... nescaya tak tersebut! Kerana begitu melimpahnya bukti kasih dan belas dari 'Tuan' Yang Maha Penyayang ini...
Tuan kita cuma mensyaratkan sedikit amal untuk dilunaskan oleh hambaNya. Beribadat tanda syukur. Itu sahaja. Tak perlu berbicara soal 'membalas budi' atas segala limpahan nikmat ini.. kerana pasti tidakkan mampu seorang hamba membalasnya walaupun untuk 1 biji mata. Apatah lagi untuk jantung yang berdegup 100,000 kali tanpa henti sehari semalam, dan infiniti nikmat-nikmat lain...
Subhanallah...
Terima kasih wahai Tuhanku...
Kerana limpahan Kasih Sayang dan Belas KasihanMu buat hamba... HambaMu yang hina ini rasa sentiasa dimuliakan, dikasihi, disayangi, dihargai, dilindungi, 'didengari' dan dikabulkan segala permintaan. Subhanallah... Terima kasih Ya Rahim... Ya Lathif... Terima kasih wahai Tuhanku Yang Maha Pengasih.. Yang Maha Berlemah Lembut terhadap hamba-hambaMu... Allah Akbar! Hebatnya nilai cintaMu buat 'hamba yang merdeka' ini...
0 comments:
Post a Comment