CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, March 7, 2011

Allahu Rabbi, Kurniakanlah yang Terbaik Buatku...

Dalam setiap bait-bait doa yang kita pohon kepada Allah s.w.t., pasti pelbagai hajat dipinta moga Allah kabulkan. Saya selalu membayangkan, jika seorang pengemis datang menadah tangan meminta sedikit wang dari kita, sayu dan belas membuatkan kita sudi untuk memberi. Tak sanggup rasanya menghampakan dia.



Apatah lagi Allah s.w.t. yang punya rasa belas dan kasih yang Maha Hebat. Jika hamba-hambaNya menadah tangan memohon segala hajat dan permintaan, yakinilah... Allah pasti mengabulkannya! Itu janji yang pasti, tapi dengan syarat... kita terlebih dahulu perlu melunaskan segala tanggungjawab sebagai seorang hamba. Jangan berkira untuk membuat amal kebaikan kerana Allah, supaya kelak Allah juga 'tidak berkira' untuk mengabulkan segala hajat yang kita pohon...

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka: sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (Al-Baqarah: 186).




Namun disebalik permintaan si hamba yang dilambatkan atau belum lagi dikabulkan lagi, terselit hikmah yang cukup besar tanda kasih sayang Allah buat hambaNya. Umpama seorang ibu yang melarang si anak kecil bermain dengan mancis, larangan itu tanda sayang yang punya hikmah penuh kasih. Tidak memberi atau melewatkan sedikit permintaan itu adalah tanda cinta, kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk si hamba..

"... boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya". (Al-Baqarah: 216).



Yakinilah, setiap permintaan pasti dikabulkan oleh Yang Maha Pengasih...

Yakinilah, mungkin ada sesetengah permintaan yang dilewatkan sedikit kerana Allah ingin memberikan yang sangat terbaik buat kita!

Dan yakinilah, setiap sesuatu yang terjadi punya hikmah tanda kasih Rabbul Jalil buat si hamba...

Yakinilah... tiada satu pun yang mustahil dengan doa! Kerana Allah s.w.t. punya Keagungan yang menguasai seluruh 'Arasy...

Allahu Rabbi... kurniakanlah apa-apa yang terbaik buatku...

Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih... kurniakanlah segala yang terbaik buat hamba... Allahumma Ameen...



0 comments: