CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, April 13, 2011

Sejenak Bermuhasabah Saat Kematian



Sejenak bermuhasabah, pejamkan mata dan tanyakan soalan-soalan di bawah buat diri...


  • Jika Allah taqdirkan ajal kita cuma tinggal beberapa minit saja lagi, bersediakah kita menyahut 'jemputanNya' saat ini?

  • Bagaimana rasanya roh ditarik dari jasad? Jika umpama cabangan duri yang disentak keluar penuh keras, sanggupkah kita menghadapinya?

  • Cukupkah amalan yang dikumpul selama ini? Ikhlaskah segalanya kerana Allah?

  • Bagaimana pula keadaan kita sewaktu nyawa diambil oleh Malaikat Izrail? Sedang melakukan ketaatan atau sedang bermaksiatkah kita?

  • Bersediakah kita 'kembali' bertemu Allah s.w.t. dengan hati yang seringkali lalai dari mengingatiNya? Yang dikejar selama ini cuma Dunia, Dunia, Dunia...

  • Layakkah kita 'dipandang' penuh belas oleh Tuhan Yang Maha Sempurna, bahkan selama ini kita menongkah kehidupan dunia dengan penuh sombong dan takabbur...

  • Bagaimana keadaan kubur kita kelak? Adakah akan terhimpit segala tulang belulang dan dipenuhi jengking dan ular berbisa?

  • Masih adakah pahala amalan yang akan terus menerus 'dikirimkan' buat kita? Jika tiada, bagaimana bakal kita harungi alam kubur kelak?


  • Bagaimana pula tika dibangkitkan kembali? Allahu Akbar! Bersesak, berhimpit dan bermandikan peluh saat dikumpulkan di Padang Mashyar kelak... Tangan kanan atau kirikah yang akan menerima kitab amalan kita kelak?

  • Layakkah kita mendapat syafa'at Rasulullah yang mulia, sedangkan selama ini jarang benar kita bersolawat mengingati Baginda. Apatah lagi beramal dengan segala sunnah dan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah, Utusan dan Kekasih Allah...

  • Bagaimana keadaan kita saat menunggu amalan dihisab? Hancur luluh seluruh wajah kerana menahan malu tika dipertontonkan segala amalan di khalayak seluruh umat manusia. Tiada satu pun yang tertinggal, walau sebesar zarah!

  • Bagaimana pula keadaan kita tika meniti Titian Sirat yang berganda nipisnya dari seurat rambut?

  • Di hujung penantian, destinasi manakah yang bakal kita tuju berdasarkan amalan yang telah terhisab? Ke syurga atau ke neraka kah kita?
Allah... Allah Tuhanku... Belas kasihanilah daku yang seringkali bermaksiat terhadapMu... Bahkan sedikit benar ketaatan yang telah dilakukan sepanjang kehidupan ini... Solat malamku hanya sekali sekala, kesyukuranku hanya sekelumit, ibadah lainku jarang beristiqamah, akhlakku belum lagi seindah ajaran RasulMu, keikhlasanku belum benar-benar mantap, bahkan segala-galanya masih lagi bertatih meraih RedhaMu...

Allah Tuhanku.. Pelindungku.. Sumber rezekiku.. Tempat pengaduanku.. Engkau matlamatku, wahai Tuhan yang Maha Hebat... Berlemah-lembutlah terhadapku... Ampunilah daku, wahai Tuhan... Lorongkanlah segala jalan kebaikan untukku, agar segala yang ku lakukan adalah keranaMu dan untukMu semata...

Satukanku bersama keluarga dan saudara-saudaraku yang lain di SyurgaMu yang penuh kenikmatan...walaupun sering ku insafi, SyurgaMu itu benar-benar tidak layak buat hambaMu ini... Allah Tuhanku... Ampunkan segala dosa-dosaku... Terimalah pengabdianku yang sekelumit cuma... Mengharap segala belas dan kasih dari Mu, wahai Tuhan...


0 comments: