CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, September 9, 2012

Jika Stress...




"Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar"
Al-Baqarah; 2:153


Jika stress, rehatkan diri dengan Solat

Jika sedih, pujuk hati dengan Quran

Jika terlalu sibuk, luangkan masa dengan bangun malam

Jika lalai, kembalikan jiwa dengan zikir

Jika rasa dunia terlalu memenatkan, pujuk iman dengan Syurga!



Saturday, August 18, 2012

Jagalah Allah, Allah Menjagamu





Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul untuk mendatangkan bencana ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.

(Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi) 




Wednesday, July 11, 2012

Melazimi Zikir




Istiqamah untuk melazimi zikir melalui beberapa tindakan:-


(1) Ucapkan bismillah sebelum memulakan sesuatu pekerjaan.

(2) Melazimi bacaan doa dalam kehidupan sehari-hari (doa sebelum dan selepas tidur, doa makan, doa memasuki tandas, doa memakai pakaian, doa sebelum belajar, dll)

(3) Setiap kali selepas solat, baca beberapa zikir sebelum teruskan dengan berdoa.

(4) Biasakan lidah dengan sebutan Alhamdulillah, InshaAllah dan Subhanallah dalam perbualan harian.

(5) Amalkan zikir Imam Ghazali semampu boleh. Mungkin 10-20x setiap kali selepas solat.

Zikir Imam Ghazali
Ma'thurat

(6) Beramal dengan doa-doa dari Ma'thurat. Jika tidak mampu setiap hari, cukuplah istiqamah seminggu sekali misalnya. Asalkan tidak ditinggalkan terus.

(7) Menghadiri majlis ilmu di masjid atau meluangkan masa dengan program-program islamik di televisyen, youtube, radio dll.

(8) Peruntukkan sejumlah kecil wang untuk membeli beberapa majalah islamik sebagai bahan bacaan bulanan.

(9) Cuba didik jiwa untuk sentiasa ingat pada Allah swt dalam setiap keadaan. Contohnya... jika sedang makan, ingat pada Allah yang mengurniakan nikmat tersebut. Jika selamat sampai ke sesuatu destinasi, ingat pada Allah yang memelihara keselamatan kita. Jika mendapat sesuatu nikmat, bersyukur dan mengingati semuanya dari Allah. Kesihatan, kebahagiaan, kerja, keluarga, dll, semuanya nikmat yang terlalu berharga. Jika mendapat apapun kebaikan, kembalikan segala kesyukuran kepada Allah. Jika ditimpa kesusahan, pulihkan iman dengan keyakinan bahawa Allah ingin mengurniakan syurga buat kita.

(10) Melazimi zikir di dalam hati, lisan dan perbuatan memerlukan usaha berterusan sebelum ianya berjaya kekal menjadi istiqamah. Perlu mohon agar Allah mudahkan jalan usaha ini. Justeru, jom berusaha secara berterusan... jangan terhenti di pertengahan jalan!







Wednesday, June 6, 2012

Sukar vs Senang



Sukarnya bangun sebelum subuh...

Sukarnya menunaikan solat-solat sunat...

Sukarnya meluangkan sedikit masa untuk tilawatul Quran...

Sukarnya melazimi zikir dan menzahirkan kesyukuran...

Sukarnya ibadah!!


Namun amat senang sekali menonton televisyen...

Senang dan mudahnya melewat-lewatkan solat...

Senang hati melayari facebook dan meng'update' status...

Senang dalam rehat dan alpa yang berpanjangan...

Senang dan mudahnya hidup jika semuanya sesuai dengan kehendak nafsu...

Inilah kita!!



Yang memenuhi masjid adalah orang-orang tua...

Yang berjiwa besar untuk bertahajjud adalah orang-orang tua...

Yang melazimi Quran dan zikir, juga di kalangan orang tua...

Yang paling banyak amal ibadah, pastilah mereka...

Yang paling banyak mengingati mati... mereka lah jua...


Namun mereka punya daya yang terbatas...

Punya nikmat kesihatan yang paling minimum...

Punya kelemahan dari segala segi...

Punya hidup yang bakal ditinggalkan dalam masa terdekat...


Andai kita bisa berfikir seperti mereka...

Mengandaikan esok pasti dijemput pulang...

Mengandaikan amalan masih terlalu kritikal...

Mengandaikan bagaimana saat di kuburan kelak...

Mengandaikan kemungkinan bakal diazab sedasyat-dasyatnya....

Allahu Akbar! Sungguh... detik itu amat menggerunkan!!




Para Sahabat Rasulullah yang dijanjikan Syurga...

Mereka amat malu untuk 'menerima'...

Merasakan diri langsung tidak layak...

Maka mereka berlumba-lumba untuk terus beramal...

Memenuhkan jiwa dengan penuh keikhlasan dan kecintaan...

Mengorbankan segala nikmat keduniaan untuk akhirat...

Mulianya mereka kerana amat meyakini janji-janji Allah swt...

Menukarkan nikmat dunia untuk kebahagiaan abadi di SYURGA!!


Ya Allah...

Kami mohon diberi kekuatan dalam mencintaiMu...

Kami mohon keikhlasan dalam beramal...

Kami rayu agar Engkau 'memandang' kami yang penuh dosa ini...

Kami hambaMu yang menginginkan Syurga.. namun menyedari kami langsung tidak layak untuknya... melainkan dengan belas kasihMu jua, wahai Tuhan...

Kami pinta dengan penuh hina... ampunkan kami, Ya Allah...



Tuesday, May 15, 2012

Medan Istirehat




Kadangkala hambatan kesibukan dengan urusan dunia membuatkan masa kita terbatas untuk diri sendiri. Seketika, perlu keluar dari zon kesibukan dan memilih medan istirehat yang terbaik...

Bijaklah dalam memilih cara terbaik untuk beristirehat. Memilih untuk tidur siang di hujung minggu atau membaca bahan bermanfaat? Memilih untuk menonton televisyen tanpa henti atau sediakan sedikit ruang untuk ke masjid/ mendengar pengisian rohani? Memilih untuk menghabiskan banyak masa di alam maya ber'Facebook' atau alam realiti meraikan ahli keluarga? Memilih untuk tidak berbuat apa-apa atau membuat sesuatu yang bermanfaat dan masih boleh dianggap sebagai 'istirehat' =)



Perlu bijak memilih cara istirehat yang terbaik buat diri, iman dan kebahagiaan bersama. Jangan pernah lupa, anugerah 'KELUARGA' adalah medan 'ISTIREHAT' terbaik dan paling membahagiakan buat kita yang sering kepenatan ini... Baiti Jannati.. Usrati Jannati..



Saturday, April 14, 2012

Kita Mulia Kerana Islam



"Kita adalah satu golongan yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya Allah akan menghina kita." 
Umar Al-Khattab





Friday, March 16, 2012

Bijakkah kita ketika ber'Facebook'?



Sesekali saya rasa agak kurang senang tika terpandang gambar yang tidak syariah compliance dimuat naik di laman facebook. Bertambah pelik jika ada status update yang seolah-olah mencerminkan ketidakmatangan diri dalam berbicara. Seolah-olah tiada batasan dalam perkongsian hal-hal peribadi.

Terfikir-fikir sendiri... perlukah dikisahkan segalanya untuk tatapan umum? Atau perlukah segala ketidakpuasan hati dikongsi secara meluas? Kasihan jika tersasul mengundang bebanan dosa, riya' atau ujub.



Jadilah kita orang yang bijak dalam mengurus perasaan, akal dan masa ketika ber'facebook'. Berapa ramai di kalangan kita yang telah 'teruk' dilalaikan oleh si facebook ciptaan yahudi ini. Jika dibuat hitungan sendiri, berapa kali kalamullah (Al-Quran) dibaca berbanding memeriksa akaun fabebook saban hari? Berapa banyak tugasan kerja yang terbengkalai dek ketagihan facebook di alam maya? Lalaikah kita? 

Facebook bisa jadi medan ukhuwwah, dakwah, motivasi dan inspirasi terbaik jika betul caranya. Namun berapa ramai di kalangan kita yang telah tersasar jauh dari prinsip positif tersebut. Kenapa perlu memilih dosa sedangkan kita bisa menghimpun pahala dari aplikasi teknologi berkenaan? Sebelum meng'update' sesuatu status, tanyakan pada diri... bermanfaatkah perkongsianku ini? Atau sekadar menambah bebanan dosa gara-gara tidak bijak menguruskannya. Jangan biarkan niat tersasar dari landasan keredhaan Allah dalam apa jua tindakan hidup kita...Jadilah kita orang yang berdisiplin, beradab dan bijaksana ketika ber'facebook'!







Monday, February 20, 2012

Hamba



Berdiskusi bersama seorang sahabat memikirkan andai kita dihidupkan pada zaman Firaun, munginkah kita menjadi salah seorang hamba pembina piramid yang dikagumi pada zaman kini? Atau hidup pada zaman dinasti Maharaja China yang mengerahkan pembinaan tembok besar China? Atau hidup pada zaman-zaman lain yang mengamalkan sistem perhambaan. Bagaimana sukarnya menjadi hamba yang dikerah secara paksa... dibunuh sewenang-wenangnya kerana diri tiada nilai langsung di sisi sang penguasa.




Islam datang membebaskan manusia dari diperhambakan oleh sesama manusia lain. Islam mengangkat martabat dan maruah seseorang manusia tidak kira lelaki ataupun wanita. Manusia nilainya sama, punya hak dan maruah tersendiri. Namun masing-masing juga tetap seorang hamba, cuma bukan ber'tuan'kan sesama manusia tetapi hamba kepada Tuhan yang sangat hebat nilai kasih sayang dan belas rahmat-Nya.

Berterusan berbuat salah tidak dimurkai, bahkan diberi peluang untuk bertaubat. Menjauhkan diri dari jalan kebenaran tidak dibiarkan selamanya sesat, bahkan diberi petunjuk untuk mencari jalan pulang. Selamanya jalan pulang senantiasa terbuka luas walau sebesar mana kesalahan yang dibuat, walau sejauh mana kealpaan yang terzahir. Bahkan terus menerus diberi pelbagai nikmat dan kebahagiaan buat si hamba tanpa sebarang bayaran dikenakan. Apa yang diminta lambat-laun pasti dikabulkan jua.

Subhanallah.. hebat bukan, menjadi hamba kepada Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang...

Tetapi masih ramai di kalangan kita yang buat-buat lupa, lengah, tidak peduli, malas atau lalai dalam mengingati Tuhan yang sangat-sangat baik terhadap hamba-hambaNya ini.. Jika bermuhasabah, berapa kali dalam sehari kalam Tuhan dibaca dan direnung? Berapa banyak zikir yang dilafazkan berbanding lagu-lagu yang melalaikan jiwa? Berapa kali ingatan syukur kepada-Nya berbanding keluhan resah menggamit kehendak-kehendak duniawi. Bagaimana pula kualiti solat dan ibadah lain yang dilaksanakan sekadar 'melepaskan batuk ditangga'?




Allah.. terlalu banyak kesalahan hamba-hambuMu ini umpama memilih 'bangkai' duniawi melebihi 'permata' syurgawi.. Alangkah rugi dan 'tidak bijak'nya kita di sini. Hakikat duniawi umpama lintasan mimpi jika dibandingkan dengan kehidupan abadi di akhirat kelak... Allahu Rabbana.. bantulah hamba-hambaMu ini untuk terus melangkah gagah dan istiqamah di dunia yang penuh keasyikan sementara ini..



Wednesday, January 18, 2012

Berdoa dan usahakan segala kebaikan~



Indahnya Islam.. Segalanya dimulakan dengan doa, bermula dari bangun tidur hingga tidur kembali pada malamnya. Prinsip doa agar hati sentiasa terikat dalam mensyukuri, mengingati dan memuji Allah swt. Allah yang Maha Baik, menginginkan kebaikan buat hamba-hambaNya. Dengan berdoa dan berusaha ke arah kebaikan, segala kebaikan pasti dianugerahkan. Kebaikan dari segi keberkatan, kebahagiaan, kesihatan, ketenangan, dipermudahkan urusan dan pelbagai kebaikan lagi.




Berdoa dan lakukanlah segala kebaikan.. Pasti kebaikan jualah yang menghampiri diri. Jika doa belum dikabulkan, yakinilah bahawa Allah yang Maha Baik pasti mengabulkannya sedikit waktu lagi. Pasti! Andai dianugerahkan sesuatu yang berbeza, yakinilah Allah yang Maha Bijaksana telah menganugerahkan yang terbaik buat kita pada penilaianNya, bukan penilaian kita yang amat terbatas. Hakikatnya, semua nikmat dan ujian adalah suatu kebaikan buat kita, maka teruskanlah memilih jalan-jalan kebaikan dalam hidup.. agar kebaikan jua lah yang akan hadir dalam segenap ruang kehidupan ini..



"Wahai Tuhanku yang Maha Baik.. lorongkan hambaMu ini ke arah jalan-jalan kebaikan dan ketaatan kepadaMu.. Hindarilah hambaMu ini dari melakukan dosa yang boleh mengundang murkaMu.. Ampunilah dosa hamba yang seringkali bermaksiat, bertaubat dan berdosa kembali.. Ampuni segala kelemahan seorang hamba yang masih bertatih dalam menggapai RedhaMu ini.. Terimalah ya Allahu Rabbi.. Yang Maha Hebat dengan nilai kasih sayang dan belas kasihMu.."



Tuesday, January 10, 2012

Alkisah si Empunya Mata..

Siti dan Razali (bukan nama sebenar), teman baru yang saya kenali dalam satu program khas. Pasangan istimewa yang baru 5 bulan mendirikan rumah tangga, begitu serasi dan ceria di sebalik kekurangan yang dimiliki. Razali begitu ramah dan ceria, bercerita pelbagai kisah dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibir. Siti pula seorang yang ayu dan agak pendiam, namun terpancar ketenangan di wajah heningnya.

Kami berborak agak lama ketika makan tengah hari dan sesi selepasnya. Mereka membuatkan saya insaf dan empati.. Melihat cara makan mereka, saya hampir menitiskan air mata. Membayangkan pula kehidupan Siti yang perlu memasak untuk si suami, melaksanakan kerja-kerja rumah yang lain, juga aktiviti harian mereka yang terbatas dek ketidaksempurnaan diri mereka.

Namun zahirnya, mereka kelihatan ceria dan tabah.. Subhanallah. Mereka si empunya mata, sama seperti kita.. Namun mereka cuma miliki sepasang mata yang tidak hadir bersamanya 'nikmat penglihatan'. Allahu akbar!


Sebelum makan, saya nyatakan kepada Siti akan kedudukan lauk dan sayur di pinggannya. Ketika makan, saya menyaksikan sendiri akan kesukarannya untuk menghabiskan butir-butir nasi di pinggannya. Seusai makan, saya melihat tangan halusnya meraba-raba mencari segelas minuman.. Allahu akbar, empati saya begitu menebal saat itu!

Tinggal berdua dengan pendapatan tak seberapa hasil dari urutan refleksilogi yang diusahakan, pasangan bahagia ini sentiasa bersyukur dan tabah melaluinya bersama. Solat jamaah tidak pernah sekali ditinggalkan. Saya membayangkan keterbatasan mereka melalui kehidupan seharian.. hendak ke kedai membeli barang keperluan, ke hospital dan lain-lain tempat, bahkan ketika di rumah untuk memasak, membasuh pakaian, menguruskan rumah tangga, juga menjaga seorang bayi dan anak kecil kelak! Ya Allah.. mudahkanlah segala urusan mereka..

Kisah Siti dan Razali adalah antara kisah benar yang berlaku di sekeliling kita. Betapa kita menyaksikan mereka yang diuji dengan ketidaksempurnaan fizikal, kesusahan hidup dll dalam meniti kehidupan dengan penuh kekurangan. Mereka bisa membuatkan hati-hati ini tersedar dari kesombongan dan terbangun ke arah keinsafan dan kesyukuran berganda. Tiada milik kita, kecuali semuanya milik Allah yang bisa diambilNya kembali bila-bila masa sahaja.. Allahu Akbar! HambaMu sujud mengakui kehebatanMu melalui iktibar nikmat sepasang mata..




Sunday, January 1, 2012

2012: Antara 5 Tahun Berlalu & 5 Tahun Mendatang..


Subhanallah.. cepatnya masa berlalu! Setahun 2011 dah habis dah pun.. terasa baru semalam bersua dengan Januari 2011.. Sekarang dah Januari 2012! Allahu akbar.. benarlah petanda akhir zaman seperti yang disabdakan oleh Junjungan Mulia s.a.w, masa begitu pantas berlalu tanpa kita sedari.

Kematangan diri meniti usia mungkin semakin bertambah, tapi kematangan iman yang 'yazid wa yanquz' ini perlu lebih dirisaukan. Macam mana nak kekalkan momentum tarbiyah dalam diri. Bagaimana nak bina kekuatan dalaman yang berterusan. Macam mana nak improve diri dari segi kejayaan dan peribadi. Bagaimana nak jadi lebih disenangi Allah dan manusia lainnya. Waa.. memang banyak kena usaha nie..!!

Hadir ke program PIMPIN USM pada penghujung 2011 yang lalu, ada 1 sesi yang meminta peserta untuk melakarkan impian dan apa yang ingin kami capai dalam tempoh 5 tahun mendatang. Dari segi keluarga, kerjaya, masa depan dan perancangan lainnya. Di mana dan siapa kami menjelangnya 2016! Subhanallah!

Teringat juga tarikh 07.04.07 di D'Rhu, Balok, Pahang suatu ketika dulu. Majlis perpisahan bersama sahabat-sahabat sepengajian di UIA. 1 sesi menulis 'impian' masing-masing untuk 5 tahun mendatang. Kertas 'impian' tersebut digulung ke dalam sebatang pen dan koleksi kesemua pen tersebut disimpan di dalam sebuah 'botol susu' yang besar. He3, memang lucu apabila dikenang=) Kononnya pada 070412, batch kami akan berkumpul untuk sesi reunion kembali dan umumkan impian masing-masing. Tercapaikah? Chewah;) Pejam celik, lagi 3 bulan rupanya.. Subhanallah.. pantasnya 5 tahun dah hampir berlalu.. Memang sangat rindu zaman bergelar siswa siswi UIA!!!


Sesungguhnya masa amat pantas berlalu.. Pengisiannya? Tanggungjawab kita untuk merancang dan memenuhkannya dengan sesuatu yang dapat memanfaatkan diri, keluarga, ummah dan Islam.


"Allahu Rabbana, bukakan pintu-pintu hidayah, kasih sayang dan keberkatan buat kami.. agar terpimpin perjalanan hidup ini ke arah redhaanMu.. Bekalan kehidupan abadi saat menemuiMu kelak.."