CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, February 20, 2012

Hamba



Berdiskusi bersama seorang sahabat memikirkan andai kita dihidupkan pada zaman Firaun, munginkah kita menjadi salah seorang hamba pembina piramid yang dikagumi pada zaman kini? Atau hidup pada zaman dinasti Maharaja China yang mengerahkan pembinaan tembok besar China? Atau hidup pada zaman-zaman lain yang mengamalkan sistem perhambaan. Bagaimana sukarnya menjadi hamba yang dikerah secara paksa... dibunuh sewenang-wenangnya kerana diri tiada nilai langsung di sisi sang penguasa.




Islam datang membebaskan manusia dari diperhambakan oleh sesama manusia lain. Islam mengangkat martabat dan maruah seseorang manusia tidak kira lelaki ataupun wanita. Manusia nilainya sama, punya hak dan maruah tersendiri. Namun masing-masing juga tetap seorang hamba, cuma bukan ber'tuan'kan sesama manusia tetapi hamba kepada Tuhan yang sangat hebat nilai kasih sayang dan belas rahmat-Nya.

Berterusan berbuat salah tidak dimurkai, bahkan diberi peluang untuk bertaubat. Menjauhkan diri dari jalan kebenaran tidak dibiarkan selamanya sesat, bahkan diberi petunjuk untuk mencari jalan pulang. Selamanya jalan pulang senantiasa terbuka luas walau sebesar mana kesalahan yang dibuat, walau sejauh mana kealpaan yang terzahir. Bahkan terus menerus diberi pelbagai nikmat dan kebahagiaan buat si hamba tanpa sebarang bayaran dikenakan. Apa yang diminta lambat-laun pasti dikabulkan jua.

Subhanallah.. hebat bukan, menjadi hamba kepada Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang...

Tetapi masih ramai di kalangan kita yang buat-buat lupa, lengah, tidak peduli, malas atau lalai dalam mengingati Tuhan yang sangat-sangat baik terhadap hamba-hambaNya ini.. Jika bermuhasabah, berapa kali dalam sehari kalam Tuhan dibaca dan direnung? Berapa banyak zikir yang dilafazkan berbanding lagu-lagu yang melalaikan jiwa? Berapa kali ingatan syukur kepada-Nya berbanding keluhan resah menggamit kehendak-kehendak duniawi. Bagaimana pula kualiti solat dan ibadah lain yang dilaksanakan sekadar 'melepaskan batuk ditangga'?




Allah.. terlalu banyak kesalahan hamba-hambuMu ini umpama memilih 'bangkai' duniawi melebihi 'permata' syurgawi.. Alangkah rugi dan 'tidak bijak'nya kita di sini. Hakikat duniawi umpama lintasan mimpi jika dibandingkan dengan kehidupan abadi di akhirat kelak... Allahu Rabbana.. bantulah hamba-hambaMu ini untuk terus melangkah gagah dan istiqamah di dunia yang penuh keasyikan sementara ini..



0 comments: