CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, January 10, 2012

Alkisah si Empunya Mata..

Siti dan Razali (bukan nama sebenar), teman baru yang saya kenali dalam satu program khas. Pasangan istimewa yang baru 5 bulan mendirikan rumah tangga, begitu serasi dan ceria di sebalik kekurangan yang dimiliki. Razali begitu ramah dan ceria, bercerita pelbagai kisah dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibir. Siti pula seorang yang ayu dan agak pendiam, namun terpancar ketenangan di wajah heningnya.

Kami berborak agak lama ketika makan tengah hari dan sesi selepasnya. Mereka membuatkan saya insaf dan empati.. Melihat cara makan mereka, saya hampir menitiskan air mata. Membayangkan pula kehidupan Siti yang perlu memasak untuk si suami, melaksanakan kerja-kerja rumah yang lain, juga aktiviti harian mereka yang terbatas dek ketidaksempurnaan diri mereka.

Namun zahirnya, mereka kelihatan ceria dan tabah.. Subhanallah. Mereka si empunya mata, sama seperti kita.. Namun mereka cuma miliki sepasang mata yang tidak hadir bersamanya 'nikmat penglihatan'. Allahu akbar!


Sebelum makan, saya nyatakan kepada Siti akan kedudukan lauk dan sayur di pinggannya. Ketika makan, saya menyaksikan sendiri akan kesukarannya untuk menghabiskan butir-butir nasi di pinggannya. Seusai makan, saya melihat tangan halusnya meraba-raba mencari segelas minuman.. Allahu akbar, empati saya begitu menebal saat itu!

Tinggal berdua dengan pendapatan tak seberapa hasil dari urutan refleksilogi yang diusahakan, pasangan bahagia ini sentiasa bersyukur dan tabah melaluinya bersama. Solat jamaah tidak pernah sekali ditinggalkan. Saya membayangkan keterbatasan mereka melalui kehidupan seharian.. hendak ke kedai membeli barang keperluan, ke hospital dan lain-lain tempat, bahkan ketika di rumah untuk memasak, membasuh pakaian, menguruskan rumah tangga, juga menjaga seorang bayi dan anak kecil kelak! Ya Allah.. mudahkanlah segala urusan mereka..

Kisah Siti dan Razali adalah antara kisah benar yang berlaku di sekeliling kita. Betapa kita menyaksikan mereka yang diuji dengan ketidaksempurnaan fizikal, kesusahan hidup dll dalam meniti kehidupan dengan penuh kekurangan. Mereka bisa membuatkan hati-hati ini tersedar dari kesombongan dan terbangun ke arah keinsafan dan kesyukuran berganda. Tiada milik kita, kecuali semuanya milik Allah yang bisa diambilNya kembali bila-bila masa sahaja.. Allahu Akbar! HambaMu sujud mengakui kehebatanMu melalui iktibar nikmat sepasang mata..




0 comments: