Adik saya yang bertugas di salah sebuah hospital sering menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan pelbagai ragam pesakit di wad. Berkongsi cerita dan pengalaman menguruskan pelbagai ragam pesakit, menahan kepenatan oncall, menahan kelaparan (dan menahan buang air! haha), menahan mengantuk, buat muka 'seposen' sewaktu dimarahi pakar, memaniskan muka di hadapan pesakit dan para waris walupun dalam kepenatan yang teramat, menguruskan rawatan dan penjagaan pesakit, mengisi laporan dan pelbagai tugas yang menanti.
Alhamdulillah... dengan pelbagai emosi yang bercampur di sebalik bebanan tugas yang agak berat, beliau seorang yang sangat positif, yakin dan 'cool' dalam menghadapi situasi berkenaan. Genetik abah, mungkin. Zaman 80-an ketika abah bertugas sebagai Medical Officer (MO), bilangan doktor amatlah sedikit dan ini menuntut pengorbanan masa dan kesabaran yang berlipat kali ganda berbanding sekarang. Seberat manapun bebanan tugas para doktor sekarang, lebih berganda lagi bebanan tugas para doktor suatu ketika dahulu.
Pesan abah, bersabar! Sentiasa senyum dan positifkan segalanya. Tambah adik saya, kena buat muka 'seposen' je.. masuk telinga kanan keluar telinga kiri apabila specialist marah. Bila penat sangat, ikhlaskan niat semata-mata kerana Allah swt. Ikhlas dalam membantu manusia lain yang diuji dengan kesakitan dan kesusahan - yakinilah akan ganjaran yang lebih besar di sisi Allah. Ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab, berkorban tenaga dan kerehatan - yakinilah para doktor... setiap gerak langkah dan penat lelahmu dinilai penuh mulia di sisi Allah!
Namun awas! Jangan sesekali takbur dengan title seorang doktor. Ilmu, tenaga, kesihatan dan keupayaan yang ada, semuanya dipinjamkan dan dikawal oleh Allah swt. Jangan biarkan kesombongan dan keegoan menguasai diri kalian... kerana Allah paling kasihkan hambanya yang bertaqwa dan sentiasa merasa dirinya hamba.
Mulianya tugas seorang Dr... Kalian bukan sekadar merawat para pesakit, malah membantu mereka, memotivasi, berdakwah dan membahagiakan mereka! Bersabarlah atas setiap caci, marah dan ketidaksabaran para waris atau pesakit kalian. Mereka manusia biasa yang punya emosi, perangai, kejahilan dan ketidaksempurnaan yang bisa tergugat tanpa iman dan akhlak. Jika bertemu dengan orang-orang yang begini, jadilah kalian orang yang lebih berakhlak dan penuh kesabaran dalam menghadapinya. Begitu juga para Houseman (HO) yang baru memulakan tugas, marah seorang specialist itu adalah marah yang mendidik dan mematangkan kalian.
Senyum dan biarkan diri sentiasa tenang dan positif. Apa yang terjadi, semuanya penuh hikmah. Kuncinya perlu ikhlas dan sabar dalam menjalani tugasan yang mencabar ini. Banyaknya ganjaran pahala buat kalian semua, InsyaAllah.
Bersabarlah wahai para doktor... kalian dimuliakan kerana satu tugas yang amat mulia!
0 comments:
Post a Comment