Detik waktu begitu pantas berlalu. Hari ini 1 Zulkaedah 1434H, tinggal hanya sebulan Zulhijjah untuk kita melangkah ke tahun baru 1435H.
Mendapat perkhabaran gembira, seorang sahabat dikurniakan rezeki untuk menunaikan haji dalam usia yang muda (sangat muda jika dibandingkan dengan pakcik makcik yang berusia 50-60an).
Subhanallah walhamdulillah... Nikmat yang amat membahagiakan! Allah telah memilih beliau menjadi tetamu istimewa-Nya, walaupun begitu ramai manusia lainnya yang masih menanti saat indah dijemput sebagai "tetamu Allah".
Jika menerima jemputan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri atau VVIP mana sekalipun, itu sudah cukup membuatkan seseorang itu rasa istimewa. Apatah lagi jika yang menjemput adalah Raja segala Raja, Tuhan sekalian alam. Jemputan yang amat istimewa!
Kisah perjalanan haji Prof. Kamil Ibrahim menggamit rasa. Betapa mabrurnya ibadah haji dinilai setelah kembali kepada realiti hidup. Bukan sekadar rutin ibadah selama berada di tanah suci, namun keseluruhan rutin hidup selepas kembali.
Tahun 2009 ketika mula membaca kisah perjalanan haji Prof. Kamil Ibrahim, terasa malu pada diri sendiri. Bagaimana beliau yang baru bermula untuk mempelajari bacaan Al-Quran sebelum menunaikan ibadah haji, terus diberi kekuatan untuk beristiqamah dengan beberapa amalan selepas kembali ke sini. Masya-Allah, perkongsian berkenaan adalah dakwah beliau yang berjaya menyentuh begitu banyak hati yang sedang terlena!
Kita yang masih jauh dari Allah... masih ada ruang dan peluang untuk lebih hampir dengan-Nya melalui usaha! Iman & Taqwa bukanlah sesuatu yang diangan-angankan, namun perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Biar sedikit namun istiqamah, agar nafsu bisa lemah!
0 comments:
Post a Comment