"Cikgu, saya nak bisik sesuatu kat cikgu.." Kata seorang pelajar saya yang berusia 9 tahun sambil meninggikan badannya ke telinga saya.
"Ada apa sampai kena bisik-bisik ni?" Soal saya kepelikan.
Bajunya amat lusuh, kasut royak rabak. Dia antara murid yang menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di waktu rehat.
"Cikgu, saya nak minta pinjam 'seringgit' dengan cikgu, boleh?" Bisikannya disertai 'muka kesian'.
"Seringgit?" Muka budak lelaki ini saya tenung dengan penuh persoalan. "Boleh buat apa dengan seringgit ni?" Soal saya kembali.
Menurut guru kelas, yuran sekolahnya belum berbayar. Kenapa tidak dia minta dipinjamkan duit untuk membayar yuran sekolah? Dengan seringgit, apa sangatlah nilainya..
"Haikal (bukan nama sebenar), dah alang-alang nak pinjam, kenapa minta seringgit je?" Tanya saya lagi menduganya.
"Cikgu, saya nak seringgit je, dah lama saya teringin nak beli ais krim & coklat macam kawan saya tu... Tapi saya tak pernah bawa duit datang sekolah." Apabila disoal selidik, rupanya ibu bapa Haikal adalah orang susah dan tidak mampu menyediakan duit poket untuk dia dan adik-adiknya. Cukup sekadar bantuan RMK yang diterima.
Saya menghulurkan beberapa keping duit seringgit untuk dia penuhi hajat yang tidak kesampaian selama ini. Saya termenung memikirkan, besarnya nilai seringgit untuk kanak-kanak seperti Haikal. Nilai seringgit yang mungkin tak pernah saya hargai ketika itu.
Kisah tersebut berlaku beberapa tahun yang lalu ketika saya menimba pengalaman sebagai guru ganti sebelum bergraduasi pada Majlis Konvokesyen universiti. Haikal akan sentiasa saya kenang, semoga Allah s.w.t. mudahkan urusan pembelajarannya. Dengan ilmu dan izin Allah, nasib keluarganya dapat beliau ubah satu masa nanti, InsyaAllah.
Seringgit umpama tiada nilai bagi kita. Tapi kerana seringgit inilah kempunan kanak-kanak miskin dan si fakir dapat dipenuhi. Pada yang datang meminta sumbangan, hulurkanlah walaupun nilainya hanya seringgit. Jangan dibiarkan si peminta itu meninggalkan kita tanpa ada apa-apa untuk mereka. Hulurkanlah beberapa keping wang seringgit itu agar nilainya lebih memberi manfaat kepada mereka.
Sumbangan untuk sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim, masjid dll... Jangan menolak untuk memberi, hulurkanlah walaupun hanya beberapa keping wang seringgit. Bantuan untuk saudara kita di Palestin, Syria, Rohingya dll... Istiqamah untuk bersedekah dan berinfaq di mana-mana sahaja yang memerlukan.
Sumbangankan dengan ikhlas hanya kerana Allah semata. Ia saham dan tabungan akhirat yang amat berbaloi untuk dinikmati kelak. Usah hampakan mereka yang memerlukan... kerana di sisi Allah, terhitung ganjaran yang tidak ternilai!
0 comments:
Post a Comment