CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, July 31, 2010

Di sini umpama mimpi





Ketika di zaman campus beberapa tahun lepas, saya bermimpi orang yang paling saya sayangi meninggal dunia di depan mata. Melihat dan merasai betapa penyakit kronik itu yang menyebabkan kematian orang yang paling disayangi, betul-betul ‘menyiksa’ jiwa dan perasaan saya.

Saya masih sangat-sangat memerlukan beliau… tika itu saya menangis sepenuh jiwa, tersedu sedan menahan sebak, terasa sukar untuk menerima. Saya memeluk erat tubuh beliau yang terbujur kaku, bagai tidak merelakan ‘perpisahan’ itu. Terasa sungguh berat ujian yang menimpa tika itu… Saya menangis begitu teruk pada malam tersebut.

Apa yang terjadi, tiba-tiba saya terjaga dari tidur. Innalillah, rupanya saya cuma bermimpi! Terjaga dari tidur dengan sedu sedan dan air mata yang penuh membasahi pipi… dan masih meneruskan tangisan selepas terjaga dari mimpi… kerana terlalu sedih. Saya betul-betul merasainya!

Saya meluru keluar dari bilik di tingkat empat itu, lalu memandang pada langit yang masih pekat dan bulan yang bercahaya. Subhanallah… saya sangat-sangat bersyukur kerana ia hanya sebuah mimpi!

Banyak lagi kisah yang berlaku pada kita semua. Betul-betul ‘merasai’ apa yang dimimpi umpama ia benar-benar terjadi. Kita umpama ‘hidup’ di dalam mimpi, tanpa mengetahui kita sebenarnya ‘cuma bermimpi’ sahaja.

Sewaktu kanak-kanak, saya sering bermimpi dikejar ‘hantu’. Begitu menakutkan! Saya lari sekuat hati, menangis meminta tolong, berusaha bersungguh-sungguh untuk lepas dari cengkaman hantu yang menakutkan itu!




Saya berfikir, alangkah bagusnya sekiranya saya tahu itu cuma sekadar mimpi. Tidak perlu menangis teresak-esak, tidak perlu ketakutan yang melampau, dan tidak perlu terganggu emosi. Terasa bagai mahu ‘kembali’ ke alam mimpi dan dengan bangganya ‘mengejek’ dan mentertawakan hantu tersebut… ait, ini cuma mimpi!! Awak tak boleh buat apa-apa pun pada saya (he2).

Tapi malangnya, saya memang tak pernah sekalipun ‘kembali’ pada mimpi yang sama untuk ‘membetulkan’ apa yang telah terjadi.

Apabila bermimpi sesuatu yang tidak diingini, kita akan berkata: “Syukur lah, itu cuma mimpi sahaja! Bukannya betul-betul terjadi di alam realiti ini…”

Dalam satu malam kita mampu bermimpi beberapa situasi yang berlainan, mungkin juga kisah kita dari muda hingga ke tua cuma dalam satu malam! Singkat betul perjalanan mimpi…

Antara mainan mimpi yang kita semua pernah alami dan kehidupan di dunia ini ada persamaannya. Dalam mimpi, jiwa/ roh kita betul-betul mengalami dan merasainya. Terjaga dari mimpi, kita masih teringat-ringat. Namun untuk kembali ke alam mimpi tersebut atau mengubahnya adalah mustahil.

Begitu juga hidup di dunia… jiwa, roh dan fizikal kita umpama ‘bermimpi’. Membuat itu dan ini, serta dilengkapi perasaan suka duka, dan akhir sekali menemui ajal untuk kembali pada ‘kehidupan realiti’ yang sebenar. Itulah alam akhirat… destinasi terakhir cuma syurga atau neraka sahaja, tiada pilihan lain!

Tika itu baru kita sedar, rupanya kita cuma ‘bermimpi’ di alam dunia yang sangat-sangat singkat berbanding alam akhirat yang kekal abadi di sana. Memang sangat singkat!

Tersedar dari ‘mimpi’ dunia yang singkat ini, pasti kita menyesal tak sudah-sudah ketika ‘terjaga’ di ‘alam realiti’ kelak. Amat menyesal kerana timbangan pahala terlalu kurang, menyesal kerana pinjaman usia ini tidak dimanfaatkan sebetulnya, bahkan betul-betul menyesal andai tersilap langkah menempah tiket ke neraka. Na’uzubillah.

Saat itu terasa ingin kembali ke alam ‘mimpi dunia’ untuk menebus segalanya. Terasa betul-betul geram dengan syaitan dan kuncu-kuncunya kerana telah berjaya membuatkan kita betul-betul lalai, terpedaya, ingkar dan sesat. Di alam ‘realiti akhirat’ itu lah manusia menyumpah-nyumpah diri sendiri kerana telah tertipu…

Bukankan Quran telah menceritakan kisah-kisah ‘penyesalan’ orang-orang yang ingkar?

[.. dia berkata semasa melihat azab: "Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya aku ingin menjadi di kalangan orang-orang yang mengerjakan kebaikan!"] (Az-Zumar: 58)

Namun penyesalan tidak mampu untuk membuatkan kita kembali ke alam mimpi dunia ini… Mustahil. Orang yang ‘bijaksana’ di alam mimpi dunia ini sanggup bersusah-susah sedikit untuk ‘ke sana’. Orang yang ‘bijaksini’ cuma mengejar apa yang ‘di sini’… yang hakikatnya akan ditinggal pergi.

Alangkah bagusnya andai peringatan-peringatan awal dari Al-Quran ini mampu membuatkan kita bersedia lebih awal untuk ‘kehidupan realiti’ di akhirat kelak… Saya dan anda perlu kuat di ‘alam mimpi’ ini untuk berkata ‘tidak’ pada pujukan syaitan dan kuncu-kuncunya… agar apabila kita ‘terjaga’ kelak, kita mampu ‘bernafas lega’ kerana tidak termasuk dalam ‘convoi syaitan’ yang berduyun-duyun ke neraka jahannam… Na’uzubillah.

“Ya Allah, Ya Rahman… Tolong beri kami kekuatan untuk taat kepadaMu.. Tolong belas kasihani kami, Ya Allah… berlemah lembutlah terhadap kami yang lemah ini, Ya Latif… Ampunkan kami yang senantiasa berdosa ini… bahkan hina kerana penuh dengan dosa… Ampunkn kami, ya Ghafur… Kuatkan iman kami di alam mimpi dunia ini… Satukan kami bersama keluarga dan teman-teman kami di syurgaMu kelak.. dengan belas ihsanMu, Ya Rahim…”

‘Di sini’ kita umpama ‘bermimpi’… akan bangkit untuk hidup selamanya di ‘alam realiti’ kelak…


Tika diuji...





Hidup dan ujian memang tak dapat dipisahkan. Mana ada hidup tanpa masalah.. selagi jantung berdegup, selagi itulah masalah datang menghimpit.

Mendengar permasalahan teman-teman yang diuji membuatkan saya turut merasainya. Hanya doa, kata-kata semangat, dan sedikit bantuan disumbangkan sekadar termampu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Setiap dari kita pasti diuji. Itu hakikat yang tak dapat diubah. Ada orang diuji dengan penyakit kronik, kehancuran rumah tangga, ditinggalkan kekasih, kesempitan hidup, permasalahan di tempat kerja, dan pelbagai macam ujian. Dari sekecil-kecil masalah hingga sebesar-besar masalah.

Kita milik Allah… Dia berhak untuk menguji sejauh mana tahap keimanan, kesabaran, keyakinan, dan kebergantungan kita kepada-Nya. Namun Allah Ta’ala cuma menguji sekadar tahap kemampuan kita… dan setiap ujian serta permasalahan yang serumit manapun, pasti ada hikmahnya!

Tiada orang yang tidak pernah berdepan dengan masalah. Memang ada ketikanya kita menangis, bermuram dan kadang kala terasa tak tertanggung beban yang digalas itu. Jiwa kita patut diberi ruang untuk bersedih, tapi jangan menyeksa diri terlalu lama.




Untuk teman yang sedang diuji kala ini, mungkin tips ini dapat dikongsi bersama… kerana saya juga pernah diuji, namun Alhamdulillah... masih diberi kekuatan oleh Allah. Saya dan anda perlu cuba mendidik hati untuk:

1) Sentiasa ingat, setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah dan kebaikan untuk kita.

2) Masalah apapun, hadirnya bagai hujan yang sementara saja. Selepas hujan pasti akan cerah kembali. Jadi buat penat je sedih lebih-lebih.

3) Rasakan ‘kecil’nya masalah kita berbanding ‘besar’nya masalah yang menimpa orang lain. Hati akan rasa bersyukur kerana ujian ini tidaklah seteruk apa yang dialami oleh saudara kita yang lain.

4) Bayangkan diri kita pada 5-10 tahun mendatang. Tika itu kita pasti gelakkan diri sendiri kerana ‘menyeksa’ diri untuk berduka keterlaluan dengan masalah yang menimpa hari ini, sedangkan ia sesuatu yang sudah diselesaikan!

5) Andai terasa ujian itu berpanjangan, legakan hati kita dengan saat kematian yang sudah pasti akan menyelesaikan segala permasalahan dan ujian berat itu. Paling lama kita hidup pun cuma 50/60/70 tahun sahaja. Mungkin lebih singkat, mungkin lebih lama sedikit.

Takpe le diuji sedikit ‘di sini’, asalkan ‘di sana’ kita diberi peluang untuk ke Jannah. Jadi, usaha lebih untuk ke sana! Memang sukar, namun mintalah kekuatan dari Allah…

6) Sentiasa ingat infiniti nikmat-nikmat lain lagi yang Allah dah beri. Ujian yang hadir cuma sekelumit, namun nikmat-nikmat lain tak ternilai banyaknya… walaupun diuji, tapi Alhamdulillah… Allah masih bagi macam-macam pada kita…

Sebutkan segalanya… kesihatan, family yang bahagia, harta benda, dan infiniti lagi. Andai diuji dengan kesakitan, Alhamdulillah tidak lumpuh, masih boleh berjalan, masih punya tangan untuk digerakkan, masih ada mulut untuk berbicara, masih berdegup jantung ini…

7) Sentiasa rasakan di dalam hati, Allah sangat sayangkan kita! Jika Allah sangat sayang, masih kecewakah dengan ujian?? Subhanallah… pejamkan mata… rasakan kasih sayang Allah...

8) Bermuhasabah lah dengan ujian… Allah hadirkannya khusus untuk gandakan pahala kita, sucikan dosa-dosa lampau, dan hampirkan kita yang lalai ini dengan-Nya kembali…

9) Jika ‘kehilangan’ sesuatu, Allah akan beri ‘ganti’ yang lebih-lebih baik dari itu. Allah takkan ambil sesuatu kecuali memberi gandaan pahala dan gantian yang lebih hebat! Di sini letaknya sabar dan yakin!!

10) Sentiasa berbaik sangka dan optimis dengan apa sahaja yang datang. Fikir dari sudut positif. Berbahagia lah selalu dengan hidup… senyum dan rasakan kebahagiaan itu di dalam hati…

11) Sentiasalah bersama Al-Quran… kerana padanya terdapat banyak ayat-ayat motivasi penguat semangat, penenang jiwa...

“Innallaha Ma’ana”