Bagaimana perasaan anda ketika menggunakan tandas-tandas berikut?
(1) Tandas awam yang tidak dijaga atau tandas yang terbiar
(2) Tandas di tempat orang yang mungkin dicuci sebulan sekali
(3) Tandas di rumah sendiri yang dicuci setiap minggu
(4) Tandas di hotel mewah yang dicuci setiap hari
MasyaAllah, tentu sahaja pilihan ketiga dan keempat menjadi keutamaan. Tandas yang dicuci setiap hari pasti tiada kotoran dan daki yang melekat. Terlihat bersih dan selesa untuk digunakan.
Sangat kotor dan jijik jika tandas tidak dibersihkan sedangkan penggunaannya sangat kerap. Siapa pun tidak suka sesuatu yang kotor dan berbau busuk.
Begitu tamsilannya hati manusia. Digunakan sangat kerap namun jarang dicuci. Hasad dengki, umpatan, kutukan, benci, marah, ego, sombong, riya' dan sebagainya... Semuanya penyakit hati yang kerap muncul bersilih ganti.
Andai dapat dibuka hijab hati, jijik rasanya untuk dipandang. Tebal manakah daki dan kotoran hati ini?
Hati yang berdaki inilah... jarang sangat syukurnya kepada Allah. Sedikit benar ingatan kepada Penciptanya. Namun hati ini jugalah hakikatnya yang akan kembali menemui Penciptanya.
Jika tandas yang kotor itu jijik pada pandangan kita, bukankah hati yang kotor juga pasti kelihatannya jijik untuk dipersembahkan kembali kepada Allah?
Sama-sama fikir dan usahakan... agar hati kita tidak bisa sejijik tandas yang tidak ducuci. Penyucian hati melalui taubat, zikir, membaca Al-Quran, tawadhu' dan pelbagai amal kebaikan lain kerana Allah semata. Makin dilazimi penyucian hati, makin bersih hati berkenaan.
Bantulah hati-hati kami untuk sentiasa mengingatiMu ya Allah... agar kami kembali kepadaMu sebagai Nafs Muthmainnah... jiwa-jiwa yang tenang yang Engkau redhai...