CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, August 18, 2012

Jagalah Allah, Allah Menjagamu





Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul untuk mendatangkan bencana ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.

(Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi) 




Wednesday, July 11, 2012

Melazimi Zikir




Istiqamah untuk melazimi zikir melalui beberapa tindakan:-


(1) Ucapkan bismillah sebelum memulakan sesuatu pekerjaan.

(2) Melazimi bacaan doa dalam kehidupan sehari-hari (doa sebelum dan selepas tidur, doa makan, doa memasuki tandas, doa memakai pakaian, doa sebelum belajar, dll)

(3) Setiap kali selepas solat, baca beberapa zikir sebelum teruskan dengan berdoa.

(4) Biasakan lidah dengan sebutan Alhamdulillah, InshaAllah dan Subhanallah dalam perbualan harian.

(5) Amalkan zikir Imam Ghazali semampu boleh. Mungkin 10-20x setiap kali selepas solat.

Zikir Imam Ghazali
Ma'thurat

(6) Beramal dengan doa-doa dari Ma'thurat. Jika tidak mampu setiap hari, cukuplah istiqamah seminggu sekali misalnya. Asalkan tidak ditinggalkan terus.

(7) Menghadiri majlis ilmu di masjid atau meluangkan masa dengan program-program islamik di televisyen, youtube, radio dll.

(8) Peruntukkan sejumlah kecil wang untuk membeli beberapa majalah islamik sebagai bahan bacaan bulanan.

(9) Cuba didik jiwa untuk sentiasa ingat pada Allah swt dalam setiap keadaan. Contohnya... jika sedang makan, ingat pada Allah yang mengurniakan nikmat tersebut. Jika selamat sampai ke sesuatu destinasi, ingat pada Allah yang memelihara keselamatan kita. Jika mendapat sesuatu nikmat, bersyukur dan mengingati semuanya dari Allah. Kesihatan, kebahagiaan, kerja, keluarga, dll, semuanya nikmat yang terlalu berharga. Jika mendapat apapun kebaikan, kembalikan segala kesyukuran kepada Allah. Jika ditimpa kesusahan, pulihkan iman dengan keyakinan bahawa Allah ingin mengurniakan syurga buat kita.

(10) Melazimi zikir di dalam hati, lisan dan perbuatan memerlukan usaha berterusan sebelum ianya berjaya kekal menjadi istiqamah. Perlu mohon agar Allah mudahkan jalan usaha ini. Justeru, jom berusaha secara berterusan... jangan terhenti di pertengahan jalan!







Wednesday, June 6, 2012

Sukar vs Senang



Sukarnya bangun sebelum subuh...

Sukarnya menunaikan solat-solat sunat...

Sukarnya meluangkan sedikit masa untuk tilawatul Quran...

Sukarnya melazimi zikir dan menzahirkan kesyukuran...

Sukarnya ibadah!!


Namun amat senang sekali menonton televisyen...

Senang dan mudahnya melewat-lewatkan solat...

Senang hati melayari facebook dan meng'update' status...

Senang dalam rehat dan alpa yang berpanjangan...

Senang dan mudahnya hidup jika semuanya sesuai dengan kehendak nafsu...

Inilah kita!!



Yang memenuhi masjid adalah orang-orang tua...

Yang berjiwa besar untuk bertahajjud adalah orang-orang tua...

Yang melazimi Quran dan zikir, juga di kalangan orang tua...

Yang paling banyak amal ibadah, pastilah mereka...

Yang paling banyak mengingati mati... mereka lah jua...


Namun mereka punya daya yang terbatas...

Punya nikmat kesihatan yang paling minimum...

Punya kelemahan dari segala segi...

Punya hidup yang bakal ditinggalkan dalam masa terdekat...


Andai kita bisa berfikir seperti mereka...

Mengandaikan esok pasti dijemput pulang...

Mengandaikan amalan masih terlalu kritikal...

Mengandaikan bagaimana saat di kuburan kelak...

Mengandaikan kemungkinan bakal diazab sedasyat-dasyatnya....

Allahu Akbar! Sungguh... detik itu amat menggerunkan!!




Para Sahabat Rasulullah yang dijanjikan Syurga...

Mereka amat malu untuk 'menerima'...

Merasakan diri langsung tidak layak...

Maka mereka berlumba-lumba untuk terus beramal...

Memenuhkan jiwa dengan penuh keikhlasan dan kecintaan...

Mengorbankan segala nikmat keduniaan untuk akhirat...

Mulianya mereka kerana amat meyakini janji-janji Allah swt...

Menukarkan nikmat dunia untuk kebahagiaan abadi di SYURGA!!


Ya Allah...

Kami mohon diberi kekuatan dalam mencintaiMu...

Kami mohon keikhlasan dalam beramal...

Kami rayu agar Engkau 'memandang' kami yang penuh dosa ini...

Kami hambaMu yang menginginkan Syurga.. namun menyedari kami langsung tidak layak untuknya... melainkan dengan belas kasihMu jua, wahai Tuhan...

Kami pinta dengan penuh hina... ampunkan kami, Ya Allah...



Tuesday, May 15, 2012

Medan Istirehat




Kadangkala hambatan kesibukan dengan urusan dunia membuatkan masa kita terbatas untuk diri sendiri. Seketika, perlu keluar dari zon kesibukan dan memilih medan istirehat yang terbaik...

Bijaklah dalam memilih cara terbaik untuk beristirehat. Memilih untuk tidur siang di hujung minggu atau membaca bahan bermanfaat? Memilih untuk menonton televisyen tanpa henti atau sediakan sedikit ruang untuk ke masjid/ mendengar pengisian rohani? Memilih untuk menghabiskan banyak masa di alam maya ber'Facebook' atau alam realiti meraikan ahli keluarga? Memilih untuk tidak berbuat apa-apa atau membuat sesuatu yang bermanfaat dan masih boleh dianggap sebagai 'istirehat' =)



Perlu bijak memilih cara istirehat yang terbaik buat diri, iman dan kebahagiaan bersama. Jangan pernah lupa, anugerah 'KELUARGA' adalah medan 'ISTIREHAT' terbaik dan paling membahagiakan buat kita yang sering kepenatan ini... Baiti Jannati.. Usrati Jannati..



Saturday, April 14, 2012

Kita Mulia Kerana Islam



"Kita adalah satu golongan yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya Allah akan menghina kita." 
Umar Al-Khattab





Friday, March 16, 2012

Bijakkah kita ketika ber'Facebook'?



Sesekali saya rasa agak kurang senang tika terpandang gambar yang tidak syariah compliance dimuat naik di laman facebook. Bertambah pelik jika ada status update yang seolah-olah mencerminkan ketidakmatangan diri dalam berbicara. Seolah-olah tiada batasan dalam perkongsian hal-hal peribadi.

Terfikir-fikir sendiri... perlukah dikisahkan segalanya untuk tatapan umum? Atau perlukah segala ketidakpuasan hati dikongsi secara meluas? Kasihan jika tersasul mengundang bebanan dosa, riya' atau ujub.



Jadilah kita orang yang bijak dalam mengurus perasaan, akal dan masa ketika ber'facebook'. Berapa ramai di kalangan kita yang telah 'teruk' dilalaikan oleh si facebook ciptaan yahudi ini. Jika dibuat hitungan sendiri, berapa kali kalamullah (Al-Quran) dibaca berbanding memeriksa akaun fabebook saban hari? Berapa banyak tugasan kerja yang terbengkalai dek ketagihan facebook di alam maya? Lalaikah kita? 

Facebook bisa jadi medan ukhuwwah, dakwah, motivasi dan inspirasi terbaik jika betul caranya. Namun berapa ramai di kalangan kita yang telah tersasar jauh dari prinsip positif tersebut. Kenapa perlu memilih dosa sedangkan kita bisa menghimpun pahala dari aplikasi teknologi berkenaan? Sebelum meng'update' sesuatu status, tanyakan pada diri... bermanfaatkah perkongsianku ini? Atau sekadar menambah bebanan dosa gara-gara tidak bijak menguruskannya. Jangan biarkan niat tersasar dari landasan keredhaan Allah dalam apa jua tindakan hidup kita...Jadilah kita orang yang berdisiplin, beradab dan bijaksana ketika ber'facebook'!







Monday, February 20, 2012

Hamba



Berdiskusi bersama seorang sahabat memikirkan andai kita dihidupkan pada zaman Firaun, munginkah kita menjadi salah seorang hamba pembina piramid yang dikagumi pada zaman kini? Atau hidup pada zaman dinasti Maharaja China yang mengerahkan pembinaan tembok besar China? Atau hidup pada zaman-zaman lain yang mengamalkan sistem perhambaan. Bagaimana sukarnya menjadi hamba yang dikerah secara paksa... dibunuh sewenang-wenangnya kerana diri tiada nilai langsung di sisi sang penguasa.




Islam datang membebaskan manusia dari diperhambakan oleh sesama manusia lain. Islam mengangkat martabat dan maruah seseorang manusia tidak kira lelaki ataupun wanita. Manusia nilainya sama, punya hak dan maruah tersendiri. Namun masing-masing juga tetap seorang hamba, cuma bukan ber'tuan'kan sesama manusia tetapi hamba kepada Tuhan yang sangat hebat nilai kasih sayang dan belas rahmat-Nya.

Berterusan berbuat salah tidak dimurkai, bahkan diberi peluang untuk bertaubat. Menjauhkan diri dari jalan kebenaran tidak dibiarkan selamanya sesat, bahkan diberi petunjuk untuk mencari jalan pulang. Selamanya jalan pulang senantiasa terbuka luas walau sebesar mana kesalahan yang dibuat, walau sejauh mana kealpaan yang terzahir. Bahkan terus menerus diberi pelbagai nikmat dan kebahagiaan buat si hamba tanpa sebarang bayaran dikenakan. Apa yang diminta lambat-laun pasti dikabulkan jua.

Subhanallah.. hebat bukan, menjadi hamba kepada Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang...

Tetapi masih ramai di kalangan kita yang buat-buat lupa, lengah, tidak peduli, malas atau lalai dalam mengingati Tuhan yang sangat-sangat baik terhadap hamba-hambaNya ini.. Jika bermuhasabah, berapa kali dalam sehari kalam Tuhan dibaca dan direnung? Berapa banyak zikir yang dilafazkan berbanding lagu-lagu yang melalaikan jiwa? Berapa kali ingatan syukur kepada-Nya berbanding keluhan resah menggamit kehendak-kehendak duniawi. Bagaimana pula kualiti solat dan ibadah lain yang dilaksanakan sekadar 'melepaskan batuk ditangga'?




Allah.. terlalu banyak kesalahan hamba-hambuMu ini umpama memilih 'bangkai' duniawi melebihi 'permata' syurgawi.. Alangkah rugi dan 'tidak bijak'nya kita di sini. Hakikat duniawi umpama lintasan mimpi jika dibandingkan dengan kehidupan abadi di akhirat kelak... Allahu Rabbana.. bantulah hamba-hambaMu ini untuk terus melangkah gagah dan istiqamah di dunia yang penuh keasyikan sementara ini..