Subhanallah...
Lautan menjadi saksi kebesaran Allah...
Penuh dengan keindahan yang menakjubkan...
Thursday, December 12, 2013
Monday, November 11, 2013
Seringgit
"Cikgu, saya nak bisik sesuatu kat cikgu.." Kata seorang pelajar saya yang berusia 9 tahun sambil meninggikan badannya ke telinga saya.
"Ada apa sampai kena bisik-bisik ni?" Soal saya kepelikan.
Bajunya amat lusuh, kasut royak rabak. Dia antara murid yang menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di waktu rehat.
"Cikgu, saya nak minta pinjam 'seringgit' dengan cikgu, boleh?" Bisikannya disertai 'muka kesian'.
"Seringgit?" Muka budak lelaki ini saya tenung dengan penuh persoalan. "Boleh buat apa dengan seringgit ni?" Soal saya kembali.
Menurut guru kelas, yuran sekolahnya belum berbayar. Kenapa tidak dia minta dipinjamkan duit untuk membayar yuran sekolah? Dengan seringgit, apa sangatlah nilainya..
"Haikal (bukan nama sebenar), dah alang-alang nak pinjam, kenapa minta seringgit je?" Tanya saya lagi menduganya.
"Cikgu, saya nak seringgit je, dah lama saya teringin nak beli ais krim & coklat macam kawan saya tu... Tapi saya tak pernah bawa duit datang sekolah." Apabila disoal selidik, rupanya ibu bapa Haikal adalah orang susah dan tidak mampu menyediakan duit poket untuk dia dan adik-adiknya. Cukup sekadar bantuan RMK yang diterima.
Saya menghulurkan beberapa keping duit seringgit untuk dia penuhi hajat yang tidak kesampaian selama ini. Saya termenung memikirkan, besarnya nilai seringgit untuk kanak-kanak seperti Haikal. Nilai seringgit yang mungkin tak pernah saya hargai ketika itu.
Kisah tersebut berlaku beberapa tahun yang lalu ketika saya menimba pengalaman sebagai guru ganti sebelum bergraduasi pada Majlis Konvokesyen universiti. Haikal akan sentiasa saya kenang, semoga Allah s.w.t. mudahkan urusan pembelajarannya. Dengan ilmu dan izin Allah, nasib keluarganya dapat beliau ubah satu masa nanti, InsyaAllah.
Seringgit umpama tiada nilai bagi kita. Tapi kerana seringgit inilah kempunan kanak-kanak miskin dan si fakir dapat dipenuhi. Pada yang datang meminta sumbangan, hulurkanlah walaupun nilainya hanya seringgit. Jangan dibiarkan si peminta itu meninggalkan kita tanpa ada apa-apa untuk mereka. Hulurkanlah beberapa keping wang seringgit itu agar nilainya lebih memberi manfaat kepada mereka.
Sumbangan untuk sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim, masjid dll... Jangan menolak untuk memberi, hulurkanlah walaupun hanya beberapa keping wang seringgit. Bantuan untuk saudara kita di Palestin, Syria, Rohingya dll... Istiqamah untuk bersedekah dan berinfaq di mana-mana sahaja yang memerlukan.
Sumbangankan dengan ikhlas hanya kerana Allah semata. Ia saham dan tabungan akhirat yang amat berbaloi untuk dinikmati kelak. Usah hampakan mereka yang memerlukan... kerana di sisi Allah, terhitung ganjaran yang tidak ternilai!
Posted by dianaharif at 11:11 PM 0 comments
Labels: Hikmah
Sunday, September 15, 2013
Para Doktor, Bersabarlah...
Adik saya yang bertugas di salah sebuah hospital sering menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan pelbagai ragam pesakit di wad. Berkongsi cerita dan pengalaman menguruskan pelbagai ragam pesakit, menahan kepenatan oncall, menahan kelaparan (dan menahan buang air! haha), menahan mengantuk, buat muka 'seposen' sewaktu dimarahi pakar, memaniskan muka di hadapan pesakit dan para waris walupun dalam kepenatan yang teramat, menguruskan rawatan dan penjagaan pesakit, mengisi laporan dan pelbagai tugas yang menanti.
Alhamdulillah... dengan pelbagai emosi yang bercampur di sebalik bebanan tugas yang agak berat, beliau seorang yang sangat positif, yakin dan 'cool' dalam menghadapi situasi berkenaan. Genetik abah, mungkin. Zaman 80-an ketika abah bertugas sebagai Medical Officer (MO), bilangan doktor amatlah sedikit dan ini menuntut pengorbanan masa dan kesabaran yang berlipat kali ganda berbanding sekarang. Seberat manapun bebanan tugas para doktor sekarang, lebih berganda lagi bebanan tugas para doktor suatu ketika dahulu.
Pesan abah, bersabar! Sentiasa senyum dan positifkan segalanya. Tambah adik saya, kena buat muka 'seposen' je.. masuk telinga kanan keluar telinga kiri apabila specialist marah. Bila penat sangat, ikhlaskan niat semata-mata kerana Allah swt. Ikhlas dalam membantu manusia lain yang diuji dengan kesakitan dan kesusahan - yakinilah akan ganjaran yang lebih besar di sisi Allah. Ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab, berkorban tenaga dan kerehatan - yakinilah para doktor... setiap gerak langkah dan penat lelahmu dinilai penuh mulia di sisi Allah!
Namun awas! Jangan sesekali takbur dengan title seorang doktor. Ilmu, tenaga, kesihatan dan keupayaan yang ada, semuanya dipinjamkan dan dikawal oleh Allah swt. Jangan biarkan kesombongan dan keegoan menguasai diri kalian... kerana Allah paling kasihkan hambanya yang bertaqwa dan sentiasa merasa dirinya hamba.
Mulianya tugas seorang Dr... Kalian bukan sekadar merawat para pesakit, malah membantu mereka, memotivasi, berdakwah dan membahagiakan mereka! Bersabarlah atas setiap caci, marah dan ketidaksabaran para waris atau pesakit kalian. Mereka manusia biasa yang punya emosi, perangai, kejahilan dan ketidaksempurnaan yang bisa tergugat tanpa iman dan akhlak. Jika bertemu dengan orang-orang yang begini, jadilah kalian orang yang lebih berakhlak dan penuh kesabaran dalam menghadapinya. Begitu juga para Houseman (HO) yang baru memulakan tugas, marah seorang specialist itu adalah marah yang mendidik dan mematangkan kalian.
Senyum dan biarkan diri sentiasa tenang dan positif. Apa yang terjadi, semuanya penuh hikmah. Kuncinya perlu ikhlas dan sabar dalam menjalani tugasan yang mencabar ini. Banyaknya ganjaran pahala buat kalian semua, InsyaAllah.
Bersabarlah wahai para doktor... kalian dimuliakan kerana satu tugas yang amat mulia!
Posted by dianaharif at 9:36 PM 0 comments
Labels: Hikmah
Tuesday, January 15, 2013
Pilih untuk Untung @ Rugi?
Simulasi 1: Berniaga mahu untung atau rugi? Jika tidak untung sekalipun, pastikan jangan rugi!
Simulasi 2: Bekerja, beramal dan beribadah juga pastikan tidak rugi dan sia-sia... Jika tidak, pasti menanggung kerugian malah 'beban hutang' berganda-ganda di akhirat kelak...
Jom check status untung vs rugi kita...
Situasi 1: Bertudung sudah ok, tetapi tetap tidak patuh syariah. Sama ada tudung yang sengaja disingkatkan, jarang, pakaian ketat dan sebagainya. Alangkah ruginya.. takut nanti berganda bebanan dosa yang dibawa menuju alam abadi.. Tukarkan kepada sesuatu yang menguntungkan~ betul-betul ikut panduan syariah dalam menutup aurat, jangan terpengaruh dengan desakan fesyen dan persekitaraan masyarakat.
Situasi 2: Bekerja sudah ok, tetapi kadang-kadang 'tersasul' meluangkan masa terrrrlalu lama melayan FB atau termengumpat atau tersilap menggunakan masa/ alatan di tempat kerja dan sebagainya untuk tujuan peribadi. Ruginya.. kerana setiap saat yang dihabiskan pasti akan disoal di hadapan Allah swt kelak. Tukarkan kepada sesuatu yang menguntungkan ~ niat datang kerja sebagai ibadah kerana Allah, mahu memanfaatkan diri untuk Islam dan ummah. Pasti terbina sifat jujur, amanah dan tanggungjawab, kerana misi yang jelas dapat me'minimum'kan ruang untuk lagha... apatah lagi kita sentiasa sedar BOSS kita adalah Allah swt yang mengawasi setiap saat tanpa henti. Boleh diaplikasikan dalam setiap ruang kehidupan.
Situasi 3: Berbuat dosa tetapi tetap rasa ok dan tidak bersalah. Ditambah dengan bisikan syaitan dan nafsu yang seringkali menyedapkan hati untuk terus bermaksiat dan menangguhkan taubat. Alangkah ruginya.. kerana kita tidak tahu bilakah masanya nyawa kita bakal ditarik menemui Allah..
Situasi 4: Beramal sudah ok, tetapi kadangkala timbul pula sifat riya', ujub atau takbur. Na'uzubillah.. Ruginya amalan, sia-sia umpama debu yang diterbangkan angin.
Situasi 5: Menguruskan dan menjalani hidup seolah-olah tiada 'hari pembalasan'. Alangkah ruginya andai mengambil mudah (buat-buat lupa) bahawa setiap perbuatan ada balasannya. Amal yang baik dapat menambah kasih sayang Allah dan membuka ruang untuk ke syurga, amal yang buruk mengundang murkaNya dan memberatkan timbangan untuk ke neraka. Di sini kita diberi dua pilihan, pahala atau dosa. Sama ada putih atau hitam.. kerana tiada 'daerah kelabu' yang seringkali kita tertipu dengannya. Di sana juga kita hanya punya dua pilihan.. syurga atau neraka..
Situasi seterusnya: Fikir-fikirkan peringatan Allah swt dalam surah Al-'Asr.. "Demi masa! Sesungguhnya manusia seringkali berada dalam kerugian.. kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Juga mereka yang sentiasa berpesan-pesan pada jalan kebenaran dan kesabaran"
Seketika bermuhasabah, di peringkat mana kita berada? Benarlah.. kebanyakan manusia masih terleka dalam kerugian, walaupun telah disediakan pelbagai peringatan buat kita... Alangkah ruginya andai tanda 'kasih sayang' Allah ini disia-siakan...
Posted by dianaharif at 10:39 PM 0 comments
Labels: Hikmah
Thursday, May 5, 2011
Me'layu' yang Masih 'layu'
Melayu bangsaku..
Situasi 1: Hantar laptop untuk diperbaiki, selepas sebulan masih belum buat apa-apa.. Alasannya tak sempat..
Situasi 2: Order beberapa buah buku, selepas sebulan lebih masih belum sampai. Minggu pertama katanya tersilap maklumat. Minggu kedua katanya on the way. Minggu ketiga katanya nanti diorang check balik. Minggu keempat, kelima, keenam.. semuanya penuh dengan alasan..
Situasi 3: Peminjam masih belum memulangkan barang kita walaupun dah berbulan atau bertahun dalam simpanannya. Bak kata orang, simpan buat pekasam..
Situasi 4: Mesyuarat/ program apa-apapun tak pernah bermula tepat pada masanya. Selalunya memang akan lewat. Pasti lewat! Kadang-kadang tersangat le lewatnya hinggakan peserta/ ahli mesyuarat dah jemu menunggu. Last-last balik camtu je..
Situasi 5: Segelintir pekerja gemar sangat keluar minum berjam-jam ketika waktu bekerja. Takpun paling tidak, berFB atau bersembang melebihi had etika bekerja.
Situasi 6: Masa sukaaaa sangat disia-siakan camtu je. 'Emas' yang disia-siakan! Menunggu di klinik untuk berjumpa doktor, menunggu bas/ LRT, keterlaluan membazir masa menonton TV, melepak, merempit, kurang belajar, keterlaluan melayari internet dll yang tidak bermanfaat. Alangkah bagusnya andai ketika menunggu sesuatu, penuhi masa dengan membaca. Waktu terluang, isi dengan sesuatu yang berfaedah.. elakkan melepak, merempit, dll.
Situasi 7: Bukan semua, tapi masih ada kedai makan yang kotor, pejabat yang berselerak, sampah di merata-rata tempat, longkang yang berbau dan kotor, tempat perkelahan yang tidak terurus dan macam-macam pemandangan yang menyakitkan mata..
Situasi 8: Diberi kerja, kerap menangguh.
Situasi 9: Buat sesuatu sambil lewa, tidak bersungguh.
Situasi 10: Apa-apapun, alasannya kerap kali kerana MALAS ~ Belajar malas, membaca malas, berusaha malas, bekerja malas, bermain malas, makan pun kadang-kadang malas..
Situasi 11: Sekali diberi peringatan, bangkit sekejap. Tapi tak pernah bertahan. Selalunya, Melayu Mudah Lupa...
Bandingkan kita dengan masyarakat barat atau rakyat jepun. Jauuuuh berbeza. Kadang-kadang kita sendiri dah penat dengan kerenah-kerenah bangsa sendiri. Saya mengingatkan diri sendiri terlebih dahulu.. Berubahlah... bermula dari diri, agar berjaya mengubah masyarakat sendiri...
Rasulullah s.a.w. mengajarkan satu doa agar dilindungi dari kemalasan dan kelemahan. Hassan Al-Banna mengumpulkannya dalam ma'thurat agar kerap dibaca pada waktu pagi dan petang:
"Ya Allah, aku berlindung denganMu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari kedekut dan perasaan takut, dan dari desakan hutang serta paksaan orang" Ameen ya Rabbana...
Posted by dianaharif at 9:55 PM 0 comments
Labels: Hikmah



















