CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 8, 2014

Tragedi 'Kehilangan' Pesawat MH370, Boeing 777-200 Malaysia Airlines (MAS)




Penerbangan MH370, Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada jam 12.41 pagi 8 Mac 2014 dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi. Namun pesawat berkenaan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, dua jam setelah berlepas dari KLIA.

MH370 membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal dari 15 buah negara. Dipandu oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah (53), yang berpengalaman mencatatkan jam penerbangan selama 18,367 jam. Beliau dibantu oleh Pegawai Pertama, Fariq Ab Hamid (27), yang mempunyai 2,763 jam rekod penerbangan.

Pesawat terbabit merupakan sebuah Boeing 777-200 yang berusia 11.8 tahun. Secara purata, pesawat MAS Boeing 777 mampu beroperasi selama 14.2 tahun. Boeing 777 merupakan antara pesawat paling popular dan selamat serta berkemampuan untuk terbang selama 16 jam. Seorang pakar penerbangan yang terlibat dengan industri penerbangan selama 35 tahun, Geoffrey Thomas berkata, tidak pernah berlaku masalah teknikal terhadap Boeing 777 sejak ia dilancarkan pada 1995.

Malaysia Airlines mempunyai reputasi yang cukup baik dan rekod cemerlang dengan juruterbangnya, dan Boeing 777 adalah tunjang kepada kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia, Namun pada awal pagi 8 Mac 2014, dunia digemparkan dengan berita 'kehilangan' pesawat MH370 yang masih tidak dapat dikesan sehingga awal pagi 9 Mac 2013. Tumpahan minyak sepanjang 20 kilometer kelihatan di antara perairan Malaysia dan Vietnam pada petang 8 Mac 2014, dipercayai menjadi petunjuk pertama dalam kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ini. Operasi mencari masih giat dijalankan dengan kerjasama Malaysia, Vietnam, China, Singapura dan Filipina.


Doa kami seluruh rakyat Malaysia buat para keluarga terdekat, moga dugaan ini dapat dihadapi dengan penuh sabar. Jangan putus harapan untuk terus berdoa, moga Allah s.w.t memberikan jalan keluar yang terbaik. Setiap kejadian pasti ada hikmah yang terkandung. Moga-moga kita dapat mengambil pengajaran dari musibah ini dan kembali menginsafi betapa nyawa kita semua berada dalam genggaman-Nya. Dari Allah kita datang, dan hanya kepada-Nya kita akan kembali…

*Sumber Berita: Astro Awani & The Malaysian Insider




Saturday, February 15, 2014

Budaya Jepun



Hari ini adik perempuan saya menziarahi kawan barunya warga Jepun yang baru menerima cahaya mata keempat di rumah sewa beliau di Langkawi. Arissa Komaki namanya. Beliau bersalin di Hospital Langkawi dan  adik saya adalah doktor yang bertugas ketika itu. Arissa kelihatan ayu berkain batik manakala suaminya sopan berkain pelikat. Budaya mereka yang sopan dan menghormati tetamu membuatkan kemesraan mudah terjalin.

Pertemuan ini bukan secara kebetulan. Pasti ada hikmah yang Allah Ta'ala ingin kami pelajari melalui rakyat Jepun yang ditemui ini walaupun dalam masa yang singkat. Dua adik lelaki saya begitu meminati negara, budaya dan bahasa Jepun. Malah pernah mempelajari bahasa berkenaan sebagai subjek tambahan dan secara persendirian. Andai ketemu dengan pelancong dari Jepun, mereka meraikan dan bersembang santai. Adik saya akan berangkat ke Osaka pada 9 Mac ini ~ pengembaraan yang pasti membawa pulang pelbagai ibrah, hikmah dan kenangan, InsyaAllah.




Mengenali warga Jepun walaupun dalam masa yang singkat dan melihat kesopanan, kesantunan, kerajinan, kebersihan, kekemasan, kesungguhan, ketepatan masa, dan segala kebaikan yang dianjurkan oleh Islam diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

Mereka umpama menggunapakai ajaran Islam tanpa mengenal apa itu Islam. Namun kita, mengenal Islam tanpa menggunapakai keseluruhan ajaran Islam. Masyarakat Jepun yang bersistematik menguruskan kehidupan dan menitikberatkan kesempurnaan dalam segala segi. Ayuh umat Islam, kita pelajarilah sesuatu dari mereka!



Thursday, December 12, 2013

Lautan Menjadi Saksi


Subhanallah...

Lautan menjadi saksi kebesaran Allah...

Penuh dengan keindahan yang menakjubkan...










Monday, November 11, 2013

Seringgit



"Cikgu, saya nak bisik sesuatu kat cikgu.." Kata seorang pelajar saya yang berusia 9 tahun sambil meninggikan badannya ke telinga saya.

"Ada apa sampai kena bisik-bisik ni?" Soal saya kepelikan.

Bajunya amat lusuh, kasut royak rabak. Dia antara murid yang menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di waktu rehat.

"Cikgu, saya nak minta pinjam 'seringgit' dengan cikgu, boleh?" Bisikannya disertai 'muka kesian'.

"Seringgit?" Muka budak lelaki ini saya tenung dengan penuh persoalan. "Boleh buat apa dengan seringgit ni?" Soal saya kembali. Menurut guru kelas, yuran sekolahnya belum berbayar. Kenapa tidak dia minta dipinjamkan duit untuk membayar yuran sekolah? Dengan seringgit, apa sangatlah nilainya..

"Haikal (bukan nama sebenar), dah alang-alang nak pinjam, kenapa minta seringgit je?" Tanya saya lagi menduganya.

"Cikgu, saya nak seringgit je, dah lama saya teringin nak beli ais krim & coklat macam kawan saya tu... Tapi saya tak pernah bawa duit datang sekolah." Apabila disoal selidik, rupanya ibu bapa Haikal adalah orang susah dan tidak mampu menyediakan duit poket untuk dia dan adik-adiknya. Cukup sekadar bantuan RMK yang diterima.

Saya menghulurkan beberapa keping duit seringgit untuk dia penuhi hajat yang tidak kesampaian selama ini. Saya termenung memikirkan, besarnya nilai seringgit untuk kanak-kanak seperti Haikal. Nilai seringgit yang mungkin tak pernah saya hargai ketika itu.

Kisah tersebut berlaku beberapa tahun yang lalu ketika saya menimba pengalaman sebagai guru ganti sebelum bergraduasi pada Majlis Konvokesyen universiti. Haikal akan sentiasa saya kenang, semoga Allah s.w.t. mudahkan urusan pembelajarannya. Dengan ilmu dan izin Allah, nasib keluarganya dapat beliau ubah satu masa nanti, InsyaAllah.




Seringgit umpama tiada nilai bagi kita. Tapi kerana seringgit inilah kempunan kanak-kanak miskin dan si fakir dapat dipenuhi. Pada yang datang meminta sumbangan, hulurkanlah walaupun nilainya hanya seringgit. Jangan dibiarkan si peminta itu meninggalkan kita tanpa ada apa-apa untuk mereka. Hulurkanlah beberapa keping wang seringgit itu agar nilainya lebih memberi manfaat kepada mereka.

Sumbangan untuk sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim, masjid dll... Jangan menolak untuk memberi, hulurkanlah walaupun hanya beberapa keping wang seringgit. Bantuan untuk saudara kita di Palestin, Syria, Rohingya dll... Istiqamah untuk bersedekah dan berinfaq di mana-mana sahaja yang memerlukan.

Sumbangankan dengan ikhlas hanya kerana Allah semata. Ia saham dan tabungan akhirat yang amat berbaloi untuk dinikmati kelak. Usah hampakan mereka yang memerlukan... kerana di sisi Allah, terhitung ganjaran yang tidak ternilai!




Sunday, September 15, 2013

Para Doktor, Bersabarlah...




Adik saya yang bertugas di salah sebuah hospital sering menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan pelbagai ragam pesakit di wad. Berkongsi cerita dan pengalaman menguruskan pelbagai ragam pesakit, menahan kepenatan oncall, menahan kelaparan (dan menahan buang air! haha), menahan mengantuk, buat muka 'seposen' sewaktu dimarahi pakar, memaniskan muka di hadapan pesakit dan para waris walupun dalam kepenatan yang teramat, menguruskan rawatan dan penjagaan pesakit, mengisi laporan dan pelbagai tugas yang menanti.

Alhamdulillah... dengan pelbagai emosi yang bercampur di sebalik bebanan tugas yang agak berat, beliau seorang yang sangat positif, yakin dan 'cool' dalam menghadapi situasi berkenaan. Genetik abah, mungkin. Zaman 80-an ketika abah bertugas sebagai Medical Officer (MO), bilangan doktor amatlah sedikit dan ini menuntut pengorbanan masa dan kesabaran yang berlipat kali ganda berbanding sekarang. Seberat manapun bebanan tugas para doktor sekarang, lebih berganda lagi bebanan tugas para doktor suatu ketika dahulu.

Pesan abah, bersabar! Sentiasa senyum dan positifkan segalanya. Tambah adik saya, kena buat muka 'seposen' je.. masuk telinga kanan keluar telinga kiri apabila specialist marah. Bila penat sangat, ikhlaskan niat semata-mata kerana Allah swt. Ikhlas dalam membantu manusia lain yang diuji dengan kesakitan dan kesusahan - yakinilah akan ganjaran yang lebih besar di sisi Allah. Ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab, berkorban tenaga dan kerehatan - yakinilah para doktor... setiap gerak langkah dan penat lelahmu dinilai penuh mulia di sisi Allah!



Namun awas! Jangan sesekali takbur dengan title seorang doktor. Ilmu, tenaga, kesihatan dan keupayaan yang ada, semuanya dipinjamkan dan dikawal oleh Allah swt. Jangan biarkan kesombongan dan keegoan menguasai diri kalian... kerana Allah paling kasihkan hambanya yang bertaqwa dan sentiasa merasa dirinya hamba.

Mulianya tugas seorang Dr... Kalian bukan sekadar merawat para pesakit, malah membantu mereka, memotivasi, berdakwah dan membahagiakan mereka! Bersabarlah atas setiap caci, marah dan ketidaksabaran para waris atau pesakit kalian. Mereka manusia biasa yang punya emosi, perangai, kejahilan dan ketidaksempurnaan yang bisa tergugat tanpa iman dan akhlak. Jika bertemu dengan orang-orang yang begini, jadilah kalian orang yang lebih berakhlak dan penuh kesabaran dalam menghadapinya. Begitu juga para Houseman (HO) yang baru memulakan tugas, marah seorang specialist itu adalah marah yang mendidik dan mematangkan kalian.

Senyum dan biarkan diri sentiasa tenang dan positif. Apa yang terjadi, semuanya penuh hikmah. Kuncinya perlu ikhlas dan sabar dalam menjalani tugasan yang mencabar ini. Banyaknya ganjaran pahala buat kalian semua, InsyaAllah.

Bersabarlah wahai para doktor... kalian dimuliakan kerana satu tugas yang amat mulia!







Sunday, September 8, 2013

Haji



Detik waktu begitu pantas berlalu. Hari ini 1 Zulkaedah 1434H, tinggal hanya sebulan Zulhijjah untuk kita melangkah ke tahun baru 1435H.

Mendapat perkhabaran gembira, seorang sahabat dikurniakan rezeki untuk menunaikan haji dalam usia yang muda (sangat muda jika dibandingkan dengan pakcik makcik yang berusia 50-60an).

Subhanallah walhamdulillah... Nikmat yang amat membahagiakan! Allah telah memilih beliau menjadi tetamu istimewa-Nya, walaupun begitu ramai manusia lainnya yang masih menanti saat indah dijemput sebagai "tetamu Allah".

Jika menerima jemputan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri atau VVIP mana sekalipun, itu sudah cukup membuatkan seseorang itu rasa istimewa. Apatah lagi jika yang menjemput adalah Raja segala Raja, Tuhan sekalian alam. Jemputan yang amat istimewa!

Kisah perjalanan haji Prof. Kamil Ibrahim menggamit rasa. Betapa mabrurnya ibadah haji dinilai setelah kembali kepada realiti hidup. Bukan sekadar rutin ibadah selama berada di tanah suci, namun keseluruhan rutin hidup selepas kembali.

Tahun 2009 ketika mula membaca kisah perjalanan haji Prof. Kamil Ibrahim, terasa malu pada diri sendiri. Bagaimana beliau yang baru bermula untuk mempelajari bacaan Al-Quran sebelum menunaikan ibadah haji, terus diberi kekuatan untuk beristiqamah dengan beberapa amalan selepas kembali ke sini. Masya-Allah, perkongsian berkenaan adalah dakwah beliau yang berjaya menyentuh begitu banyak hati yang sedang terlena!


Kita yang masih jauh dari Allah... masih ada ruang dan peluang untuk lebih hampir dengan-Nya melalui usaha! Iman & Taqwa bukanlah sesuatu yang diangan-angankan, namun perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Biar sedikit namun istiqamah, agar nafsu bisa lemah!



Saturday, June 15, 2013

Kunci Kejayaan Minda: Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni

Ringkasan Buku Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni (2008) Kunci Kejayaan Minda. Telaga Biru Sdn Bhd.






1.       Betulkan niat & fokus

-          Niatkan kebaikan dalam setiap amalan. Berikan manfaat dan hindari kejahatan.

-          Kesungguhan, fokus, mulakan kerja yang penting, bersistematik, hindari perasaan jemu.

2.       Ikut orang yang berjaya

-         Orang yang berjaya melakukan tindakan yang tak mampu diimaginasikan oleh orang lain.

-         Waktu istirehat seperti bekerja dan waktu kerja seakan-akan istirehat baginya (kerana terlalu terhibur dengan kerja).

-         Perlu optimis, tidak berputus asa, memelihara potensi diri, akal tidak tergugat dengan nafsu.

3.       Tiada kejayaan semanis madu tanpa pengorbanan sepahit hempedu

-         Abu Thahir al-Salafi pernah ditanya, “Dari mana kamu mendapatkan ilmu-ilmu ini?” Beliau menjawab: “Daripada tinggal bersama buku-buku yang ada di rumahku selama 70 tahun”.

4.       Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang

-         Ibnu Sina: membaca kitab Al-Farabi sebanyak 40 kali.

-         Ibn Hazim: selepas seluruh bukunya terbakar, beliau menulis semula daripada hafalannya.

-         Umar Abdul Aziz: “Sungguh aku memiliki jiwa yang merindu. Jiwa yang merindui kepimpinan, maka aku mendapatkannya; merindui khalifah, maka aku meraihnya; dan sekarang jiwa itu merindui syurga”.

5.       Gagal bukan bermakna tewas

-          Thomas Edison: gagal untuk 9,999 experimen mentol elektrik sebelum berjaya.

6.       Jejaki kejayaan para sahabat

-         Zubair al-Awwam: merintis jalan ke China dengan meninggalkan segala kepentingan di Madinah, akhirnya meninggal dunia dan dimakamkan di sana.

-         Abu Hanzalah: syahid dalam keadaan berjunub kerana terus terjun apabila terdengar paluan gendang perang. Kemudian beliau dimandikan oleh para malaikat.

7.       Tuntutlah ilmu

-         Abu Hurairah: membahagikan malamnya kepada 3 bahagian: 1/3 untuk belajar, 1/3 untuk solat dan 1/3 untuk tidur.

-         Imam Al-Ghazali: menghafal Al-Quran pada usia 6 tahun dan menjadi ulama’ yang mengajar seluruh negara pada usia 9 tahun.

8.       Cuba menghasilkan karya walaupun anda tidak berbakat

-         Ibn Taimiyyah: menulis 4 topik dalam 1 hari dan setiap buku diselesaikan dalam seminggu.

-         Ibn Sina: menulis kitabnya sebanyak 25 halaman dalam setiap hari.

9.       Persiapan untuk alam akhirat

-         Alam akhirat itu amat hampir dengan kita ibarat di bilik sebelah. Cuma sakaratul maut menjadi pemisah ibarat dinding.

10.   Ambil iktibar keberkatan umur ilmuan tersohor

-         Umur itu pengukur amal. Sehari amal ditambah, sehari usia berkurang.

-         Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama 2 tahun sahaja, namun penuh keberkatan.

-         Imam Nawawi meniggal dunia pada usia 40 tahun, namun meninggalkan warisan penulisan yang sangat besar.

11.   Miliki kemuliaan dalam hidup

-        Burulah darjat dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. walaupun terpaksa dihambat kehinaan di sisi manusia.

12.   Sabar menggapai cita-cita

-         Cita-cita itu dekat dalam minda, namun jauh dalam langkah.

13.   Buang sifat malas dan suka tidur jauh-jauh

-         Sekiranya kamu tahu apakah natijah, nescaya kamu tidak akan tidur. Jangan melepaskan peluang yang datang dan mensia-siakan kesempatan umpama tidurnya serigala di antara kambing-kambing.

14.   Matlamat memandu cita-cita

-         Saidina Umar Al-Khattab: “Jika aku tidur pada siang hari, urusan umatku tidak selesai. Jika aku tidur pada malam hari, urusan peribadiku tidak selesai”.

-         Jika kamu mengidamkan kemuliaan yang dicita-citakan, maka jangan berpuas hati dengan sesuatu yang ada di bawah bintang.

-         Pedang itu boleh membunuh hanya ketika berada di tangan orang yang berani.

15.   Kenalpasti potensi diri anda

-          Anda sering meneropong keluar, sekarang masanya untuk meneropong ke dalam diri.

16.   Perdalami ilmu pengetahuan

-          Lahirkan seorang pakar.

-          Kemahiran berenang tidak dapat dipelajari melalui buku sahaja tetapi dapat dipelajari di dalam air.

17.   Contohi tokoh-tokoh unggul

-          Para sahabat memiliki profession kepakaran masing-masing.

18.   Berusahalah ke tahap optimum

-         Pedang tidak ditakuti selagi tidak terhunus.

-         Sesiapa yang bersungguh-sungguh pada usia mudanya, beliau akan menjadi orang ternama pada usia matangnya.

19.   Tiada kemahuan tiada jalan

-         Bila anda mula bergerak, jalan akan terbentang luas.

-         Jangan beri alasan hilang segala kesempatan, kerana orang yang berjalan pasti sampai ke destinasi.

-         Jauhi sifat malas, sikap meremehkan dan menunda-nunda pekerjaan.

20.   Bertawakkallah

-         Jangan suka menunda-nuda pekerjaan dan ragu-ragu. Apabila kamu bertekad melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah s.w.t.

21.   Harungi ranjau jika mahukan kejayaan

-         Anda mesti berani melalui jalan yang sukar untuk sampai ke destinasi.

-         Halangan kejayaan: sifat malas, tidak bersungguh-sungguh, menangguh-nangguh kerja, berangan dan tiada matlamat.

22.   Kecapi manisnya kejayaan

-         Jadikan manisnya kejayaan sebagai tenaga untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

-         Orang yang berusaha ibarat menanam tumbuhan: akan rasai kenikmatan dan kepuasan ketika memetik hasilnya.

23.   Jangan menempa kegagalan

-          Dunia adalah medan pertaruhan, hidup perlu perjuangan.

24.   Sedia mengkoreksi diri

-          Sesiapa yang hari ini lebih baik dari semalam maka dia termasuk orang yang beurntung.

25.   Jika anda pelajar - Jadilah pelajar Berjaya

-          Miliki cita-cita yang tinggi, tidak putus asa, kemahuan yang besar terhadap ilmu.

26.   Jika anda guru - Jadilah guru terbilang

27.   Jika anda ibu bapa - Jadilah ibu bapa teladan

28.   Jika anda seorang penulis – Jadilah penulis yang produktif

29.   Jika anda cendiakawan – Jadilah cendiakawan cemerlang

30.   Jika anda seorang pendakwah – Jadilah pendakwah yang ideal

31.   Jika anda seorang mufti – Jadilah mufti yang berdedikasi

32.   Jika anda seorang pengurus – Jadilah pengurus berinovatif dan kreatif

33.   Jika anda seorang penasihat – Jadilah penasihat yang berpengaruh