CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, January 18, 2011

'Masa Lapang' atau 'Melapangkan Masa'?





Seringkali kita mengisi masa lapang dengan sesuatu hobi kegemaran, umpamanya berkebun, berkelah atau pergi memancing. Bagaimana dengan membaca? Nak tunggu 'masa lapang' baru nak membaca, berapa banyak sangatlah 'masa lapang'yang kita ada...





Membaca sepatutnya bukan untuk mengisi masa lapang, tetapi 'melapangkan' masa harian/ mingguan/ bulanan kita untuk menjadikan beberapa bahan ilmiah sebagai 'makanan' minda dan rohani. Bahan-bahan bacaan seperti buku dan majalah ilmiah, motivasi, keagamaan, kekeluargaan, journal serta 1001 bahan bacaan patut diabadikan sebagai 'makanan asas' mingguan atau bulanan kita.




Jasad perlukan makanan setiap hari. Begitu juga minda dan jiwa kita. Dengan membaca bertambahlah ilmu dan keimanan, maka bertambah jua lah keakraban kita dengan Allah s.w.t., Tuhan yang mensyari'atkan IQRA' dalam wahyu pertama-Nya. Hikmah disebalik wahyu pertama ini ~ pastinya IQRA' adalah sesuatu yang amat dan sangat penting!





Dalam 1 tahun, secara puratanya seorang rakyat Jepun dapat menghabiskan 40 buah buku, Eropah 10 buah buku, Arab 20 helai setahun (?!) dan orang Melayu 2 buah buku sahaja. Alangkah sedihnya... Al-Quran yang diturunkan untuk umat Islam begitu menekankan tabiat membaca, akan tetapi, bangsa-bangsa lain pula yang mengambil kesempatan membina kejayaan dan kecemerlangan melalui pembacaan...


Justeru, 'lapangkanlah' masa kita semua untuk membaca... jangan tunggu waktu lapang yang tersisa sebab masa lapang itu cuma sekali sekala. Tugasan memang terlalu banyak, hakikatnya semua orang dikurniakan 24 jam yang sama...




Antara cara yang terbaik untuk dilakukan:


(i) 'Lapangkan masa' untuk membaca tika masa rehat selepas pulang dari kerja/ minum petang/ sewaktu menunggu iklan ketika menonton TV/ menunggu bas/ keseluruhan masa yang tidak di isi dengan apa-apa aktiviti. Jangan hanya duduk berpeluk tubuh!


(ii) Lewatkan sedikit masa tidur untuk diluangkan bersama buku/ kitab/ journal/ majalah ilmiah ~ jika waktu tidur biasanya 10.30 malam, luangkan masa beberapa minit/ setengah jam untuk membaca. Dari 10.30 malam contohnya, lewatkan sedikit masa tidur higga pukul 11.00 malam.



(iii) Pastikan kita membeli/ mempunyai bahan bacaan wajib setiap bulan ~ majalah, buku, etc yang boleh memberi input ilmiah. Seeloknya beli di awal bulan, dan cuba untuk habiskan bacaan sebelum akhir bulan tersebut.


(iv) Pastikan buku ada di mana-mana dalam kehidupan kita! Jika di pejabat, letak di hadapan meja untuk senang dicapai tika jemu melakukan kerja. Jika di rumah, letak di ruang tamu, bilik tidur, ruang menonton TV dll.


(v) Cintai buku umpuma mencintai masa rehat =) Justeru, utamakan dan bacalah... isi minda dan jiwa dengan 'makanannya' agar Iman kita makin bertambah seiring bertambahnya ilmu...








Monday, January 17, 2011

Rasa Kehambaan



Ya Allah... hamba ini datang sujud kepada-Mu penuh kehinaan...




Kesyukuranku belum pernah cukup....

Amalanku hanya sekelumit cuma...

Namun Kau terus-menerus membuka pintu Kasih Sayang-Mu buat hamba ini...

Dikurniakan infiniti nikmat dan rahmat...



Allahu Rabbi...

Sejak dulu ku berusaha merebut Cinta-Mu yang Maha Agung...

Seringkali aku jatuh dan jauh dari-Mu...

Namun Kau tetap menerima, tetap mengembalikan jiwa ini ke arah jalan-Mu...




Allah Tuhanku.... Betapa baiknya Engkau terhadapku....

Tiada kata yang mampu dinukilkan, betapa Kasih dan Belas-Mu memenuhi seluruh ruang kehidupanku...

Engkau matlamatku, wahai Tuhan yang Maha Agung...

Suburkanlah, ya Allah... jiwa ini dengan rasa kehambaan... dan kecintaan kepada-Mu...

Agar diri ini sentiasa terdorong untuk kebaikan dan terarah dalam ketaatan kepada-Mu pada setiap ketika...



Sunday, January 16, 2011

Malu itu Indah






Sifat malu dapat menghindarkan diri dari membuat maksiat walaupun kita berseorangan, apatah lagi di khalayak ramai.


Malu kepada Allah yang Maha Melihat, malu kepada Malaikat yang menghitung dan mencatat segala amalan, dan malu sesama manusia yang menilai apa yang terzahir.



Rasulullah s.a.w. bersabda: "Iman mempunyai lebih daripada 60 cabang. Dan malu adalah salah satu cabang dari cabang Iman" (HR Imam Bukhari).


~ "Allahu Rabbana... kuatkan kami dengan sifat malu bermaksiat kepada-Mu, walau ketika berseorangan... Kuatkan Iman remaja-remaja muslimah kami agar mereka juga punya sifat malu demi menjaga maruah dan peribadi mereka... Ameen Ya Rabbal 'Aalamin.."




Saturday, January 15, 2011

Zaman Muda Remaja


Berdekatan dengan tempat saya bekerja terdapat satu IPTS yang menawarkan science based courses. Melihat kebanyakan adik-adik muslimah kita ke kelas umpama melihat wanita kerjaya ke tempat kerja. Pakaian dan 'make-up'nya kalah lecturer.

Zaman muda memang sekali, mungkin itu peluang yang mereka rasakan untuk melaram sakan. Tapi hakikatnya zaman muda yang sekali itulah akan 'ditanya' berkali-kali oleh Allah saat pertemuan dengan-Nya nanti..



Zaman muda remajalah Iman diduga sepenuhnya. Jika pengisian Iman pun amat jarang atau hampir tiada langsung, bagaimana mehnah tribulasi dunia yang kian mencabar ini dapat ditangkis?



Saya terkejut betul dengan adegan salah seorang remaja perempuan di sebuah kedai makan berhampiran. Untuk mengucapkan selamat tinggal, pipinya dirapatkan ke muka kawan lelakinya sambil mengucapkan "I miss you!". Allahu Akbar!



Jika sesama perempuan, perbuatan tersebut pasti halal, tanda ukhuwwah benar-benar mantap. Tapi yang berlainan jantina, na'uzubillah... Remaja ini putera-puteri muslim muslimah kita. Didikan agama yang rapuh adalah punca utama segala barah sosial dan gejatan akhlak yang berlaku. Sifat malu sudah semakin pudar, hilang ditelan zaman.



Yang pasti, dunia anak-anak kita pada masa hadapan lebih mencabar untuk diharungi. Budaya hedonism dan hiburan ada di mana-mana. Yang 'hitam' dan 'kelabu' sudah dipandang 'putih'. Dosa dan maksiat dianggap perkara biasa dan tidak perlu rasa bersalah.





Didikan anak-anak bermula dari rumah... Dicorakkan oleh ibu bapa yang faham dan mengamalkan agama. Basic perlu kuat. Insya-Allah, ke mana dan di mana pun anak-anak ini berada, agama menjadi pembenteng dan penguat peribadi.







Friday, January 14, 2011

Selamat Hari Lahir Akakku!



Hari ini merupakan hari lahir sahabat baik saya, kak Farah Hayati Ab Rahim. Teman sepengajian di UIA suatu ketika dahulu. Sahabat seperjuangan yang saya anggap umpama kakak sendiri...


Subhanallah.... Ukhuwwah ini terlalu manis untuk dikenang!


Kami pergi ke kelas yang sama, makan bersama, saling ber'tazkirah' bila bersembang, punya 'rasa' dan minda yang sama dalam kebanyakan perkara, bergelak bersedih bersama, dan berkongsi segalanya umpama adik beradik kandung.


Punya banyak persamaan: Masing-masing merupakan anak sulung, mempunyai 5 beradik (4 adik-adik), punya tarikh lahir yang sama (14 Januari dan 14 Mac), lebih kurang sama tinggi dan sama besar (a.k.a. sama kecik=), Punya instinct dan worldview yang sama dalam banyak perkara, hatta ada yang memanggil kami belangkas ~ Farah Diana ~


Semasa masih di UIA dan berterusan selepasnya, keluarga masing-masing saling bersua, seerat ukhuwwah kami. Walaupun kak Farah di Melaka dan saya Kedah, kejauhan bukan satu pemisah untuk tetap bertemu...


Masih segar di ingatan tika semester terakhir kami di UIA Kuantan, boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu/ 2 minggu sekali kami akan ke Teluk Cempedak bersama. Makan aiskrim di pantai, membeli 'sata' kesukaan kak Farah, mencari buku-buku agama di Kuantan Parade dan Saba Islamic Media, juga berkongsi cerita yang pelbagai.



Boleh dikatakan sepanjang 4 tahun sesi pengajian kami di UIA Gombak dan UIA Kuantan, kami sentiasa bersama. Bermula dari berjalan ke kelas, ke makmal, menjalankan kajian tahun akhir (final year project) yang sama ~ sample: sprague dawley rat ~ bersarapan, makan tengah hari dan makan malam bersama, hatta saling 'membantu' jika salah seorang mengantuk di kelas! ;)

Allahu Akbar... Allah mengaturkannya begitu indah sekali... Saling mengingati dan menasihati antara satu sama lain...


Buat akak yang disayangi Lillahi Ta'ala... Moga Allah kurniakan kesihatan, keberkatan dan kebahagiaan berpanjangan buat akak sekeluarga. Dipermudahkan segala urusan dunia, dikurniakan anak soleh solehah, tenang dan gembira selalu =)


Selamat hari lahir, akakku... Salam rindu penuh kasih sayang...



Thursday, January 13, 2011

Di Mana 'Pemuda Kahfi' Zaman ini?

Nabi saw telah bersabda:

“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya dari bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat”

Bagi yang sentiasa mengulangi dan menghayati bacaan Surah Al-Kahfi saban minggu, Alhamdulillah..

Antara ibrah yang terkandung adalah kisah Ashabul Kahfi pada ayat 9-26 surah ini. Mereka adalah pemuda-pemuda yang sanggup mengasingkan diri demi menjaga Iman dan keyakinan kepada Allah.

Demi menyelamatkan akidah, me reka berkorban meninggalkan keluarga, harta dan kampung halaman. Berkorban meninggalkan kesenangan yang sementara sifatnya agar Tauhid mereka terjaga dari dipesongkan oleh raja yang zalim.

Allah sayangkan mereka… lalu dimatikan selama 309 tahun, membebaskan mereka dari cengkaman raja zalim yang memaksa rakyatnya menyekutukan Allah. Lalu mereka dihidupkan semula ‘merentas’ masa, ke suatu zaman di mana raja dan rakyatnya beriman kepada Allah.

Subhanallah… Tiada yang mustahil di sisi Allah…

Kisah benar ini dinukilkan dalam Al-Quran agar keyakinan kita terus mantap, meyakini betapa indahnya pengorban untuk menjaga akidah, iman dan taqwa kala seluruh pelusuk dunia ketika ini dipenuhi kefasikan dan kekufuran.

Dunia di akhir zaman kini penuh dengan maksiat dan dosa yang dianggap mulia

Ayuh bersama kita insafi… Allah pasti membantu usaha hamba2-Nya yang kerdil ini.. yang mahu ‘pulang‘ ke sisi-Nya sebagai muttaqin. Ayuh mengorak langkah umpama pemuda-pemuda Ashabul Kahfi…

Allahu Rabbana.. bantuilah kami…

Wednesday, January 12, 2011

'Takabbur'kah kita?



Tazkirah yang saya ikuti pagi tadi menerusi slot 'Tanyalah Ustaz" di TV 9 adalah mengenai takabbur, sifat semulajadi yang memang tak dapat lari dari diri seorang hamba. Jika diberi nikmat, terasa hebatnya diri!



- Takabbur kerana punya harta melimpah ruah,

- Sombong dengan sedikit kelebihan ilmu,

- Takabbur kerana memiliki kecantikan/ ketampanan,

- Sombong dengan orang miskin kerana dirinya berpangkat.

- Takabbur kerana punya anak-anak yang berjaya, kaya raya dan berpangkat,

- Sombong menguruskan kehidupan kerana rasa diri punya segalanya!



Na'uzubillah... Mohon pada Allah moga kita dijauhi walau sekelumit takabbur atas sesuatu yang hanya 'diberi pinjam', bukan hak mutlak kita sebagai hamba...


- Harta yang dipinjamkan cuma ujian buat kita, hilangnya boleh sekelip mata. Tika menghadapi sakaratul maut, tiada 1 sen harta pun yang dapat membantu. Rumah besar, kereta mewah, pakaian dan makanan lazat, semuanya pasti ditinggal pergi...


- Ilmu walau setinggi mana sekalipun, cuma setitis dari lautan ilmu Allah. Hanya dengan mengetahui sekelumit dari ilmu-ilmu tersebut, sepatutnya sifat malu menghiasi diri. Apakah dengan ilmu yang tak seberapa ini, kita layak untuk sombong? Bak seseorang menggenggam pasir sebutir, heboh mendabik dada. Walhal pasir di tepi lautan infiniti jumlahnya tak terbilang...


- Dengan kecantikan, tiada satu pun yang kekal abadi selamanya. Sudahlah tua disulami kedutan, mati pula dimakan ulat. Allahu Akbar! Inilah kesudahan jasadku kelak...


- Berpangkat pula cuma nama di dunia, paling lama pun separuh abad menikmati panggilan kehormat atau dilayan seVVVIPnya. Membayangkan bagaimanakah nama kita dipanggil untuk menghitung amalan di Padang Masyar kelak... Allah... gerunnya!


- Anak-anak atau keluarga yang 'lebih segala-galanya' jua adalah ujian untuk menilai di mana Syukur dan Tawadhu' kita. Kira diuji sakit/ lumpuh, segala 'kelebihan' tersebut hanya tinggal nama...


- Andai terdetik takabbur dan riya' dalam diri, cepat-cepat beristighfar dan memulangkan segala kelebihan tersebut kepada Allah. Kerana sebenarnya Allah sedang 'menguji' tahap Iman dan kebergantungan kita kepada-Nya...



Allahu Akbar.. Siapalah kita untuk menyombongkan diri? Lahir tanpa seurat benang, 'kembali' juga hanya dibalut kain kapan nan beberapa helai.


Ya Allah... Kami amat takut andai rasa takabbur, riya' dan ujub menguasai diri ini... Walhal kami hanya seorang yang fakir hidup menumpang di dunia milik-Mu ini... Wahai Tuhan yang memiliki 'Arasyh dan singgahsana Yang Maha Agung, sungguh, segala yang kami miliki ini cuma pinjaman milik-Mu jua....



Allahu Rabbana... jauhi kami dari sifat Takabbur...
Hindari kami dari sifat riya' dan sombong...
Ya Malik... Kami sedari, diri ini dan segalanya adalah Milik-Mu jua...