Penerbangan MH370, Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada jam 12.41 pagi 8 Mac 2014 dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi. Namun pesawat berkenaan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, dua jam setelah berlepas dari KLIA.
MH370 membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal dari 15 buah negara. Dipandu oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah (53), yang berpengalaman mencatatkan jam penerbangan selama 18,367 jam. Beliau dibantu oleh Pegawai Pertama, Fariq Ab Hamid (27), yang mempunyai 2,763
jam rekod penerbangan.
Pesawat terbabit merupakan sebuah Boeing 777-200 yang berusia 11.8 tahun. Secara purata, pesawat MAS Boeing 777 mampu beroperasi selama 14.2 tahun. Boeing 777 merupakan antara pesawat paling popular dan selamat serta berkemampuan untuk terbang selama 16 jam. Seorang pakar penerbangan yang terlibat dengan industri penerbangan selama 35 tahun, Geoffrey Thomas berkata, tidak pernah berlaku masalah teknikal terhadap Boeing 777 sejak ia dilancarkan pada 1995.
Malaysia Airlines mempunyai reputasi yang cukup baik dan rekod cemerlang dengan juruterbangnya, dan Boeing 777 adalah tunjang kepada kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia, Namun pada awal pagi 8 Mac 2014, dunia digemparkan dengan berita 'kehilangan' pesawat MH370 yang masih tidak dapat dikesan sehingga awal pagi 9 Mac 2013. Tumpahan minyak sepanjang 20 kilometer kelihatan di antara perairan Malaysia dan Vietnam pada petang 8 Mac 2014, dipercayai menjadi petunjuk pertama dalam kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ini. Operasi mencari masih giat dijalankan dengan kerjasama Malaysia, Vietnam, China, Singapura dan Filipina.
Doa kami seluruh rakyat Malaysia buat para keluarga terdekat, moga dugaan ini dapat dihadapi dengan penuh sabar. Jangan putus harapan untuk terus berdoa, moga Allah s.w.t memberikan jalan keluar yang terbaik. Setiap kejadian pasti ada hikmah yang terkandung. Moga-moga kita dapat mengambil pengajaran dari musibah ini dan kembali menginsafi betapa nyawa kita semua berada dalam genggaman-Nya. Dari Allah kita datang, dan hanya kepada-Nya kita akan kembali…
*Sumber Berita: Astro Awani & The Malaysian Insider